Kuching: Seorang nelayan sungai maut selepas diserang buaya ketika menjala di Sungai Batang Oya di Dalat, dekat Mukah malam tadi. Mayat mangsa ditemukan selepas ia tersangkut pada mata kail yang ditarik menggunakan bot jam 12.30 malam, kira-kira dua jam pencarian selepas mangsa dikatakan ditarik buaya.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat, berkata saksi kejadian memaklumkan mangsa disambar buaya ketika menjala dari botnya, sebelum diheret ke dalam Sungai Batang Oya. "Rakan mangsa meminta bantuan penduduk kampung untuk menjalankan pencarian dengan menggunakan mata kail yang ditunda menggunakan bot. "Selepas beberapa jam pencarian mata kail digunakan tersangkut pada mayat mangsa yang tenggelam di dasar sungai," katanya. Beliau berkata, mayat dibawa ke darat kemudian dihantar ke Hospital Dalat dan pemeriksaan kecederaan pada badan mangsa sinonim dengan kesan gigitan binatang buas.
"Mangsa dipercayai diheret masuk ke dalam air dan lemas. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. Saga berkata, serangan terbaharu itu adalah yang kelapan dilaporkan di daerah Dalat dalam tempoh beberapa tahun ini, dengan enam daripadanya membabitkan kematian. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT