Remaja berusia 14 tahun dan neneknya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh besi. Dalam kejadian pukul 5.10 pagi di Kilometer 42, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Pangkal Changgong, semalam, Nurin Damia Mohd. Nizam, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala neneknya, Che Hasnah Jusoh, 67, disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Unit Kecemasan Hospital Machang kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud mengesahkan kedua-dua mangsa menaiki sebuah MPV jenis Perodua Alza dipandu anak kepada Che Hasnah iaitu Muhammad Asyraf Abdul Manap, 26. Menurutnya, kenderaan tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah Che Hasnah di Kampung Bunut Tok Mak Teh, Labok.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, MPV itu dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh penghadang jalan. “Kejadian itu menyebabkan warga emas itu dan cucunya tersepit di dalam MPV terbabit. Nurin Damia disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan serius pada kepala manakala neneknya semasa dirawat di Hospital Machang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mohd. Adli memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sementara itu, anak kepada Che Hasnah, Mohd. Afiq Safwan Abdul Manap, 28, ketika ditemui berkata, adiknya, Muhammad Asyraf yang memandu MPV itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar isterinya yang belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim di Perak. Menurutnya, dari Tanjung Malim, mereka singgah ke Kuala Lumpur sebelum bertolak pulang ke Kelantan malam kelmarin. “Nahas berlaku kira-kira lapan kilometer dari rumah kami. Mereka sudah dekat untuk sampai ke rumah sebelum kemalangan. “Muhammad Asyraf memaklumkan, dia tertidur semasa memandu sebelum MPV dipandunya terbabas merempuh penghadang jalan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di unit forensik Hospital Machang hari ini. Menurut Afiq Safwan, sebelum kejadian, dia ada menghubungi adiknya kira-kira pukul 1.45 pagi semasa dia sedang tidur di Hentian Rehat dan Rawat Gua Musang. Sumber: KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT