Kemaman: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Kemasik-Air Jernih, berhampiran Felcra Berhad, dekat sini, petang tadi.
Saifuddin Sapri, 32, yang berasal dari Kampung Chabang, Kerteh meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang. Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa berkerja sebagai pemandu lori di Projek Rel Laluan Pantai Timur (ECRL) maut akibat parah di bahagian kepala. Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton bersama dua rakannya dalam perjalanan dari arah Air Jerneh menghala ke Dungun. "Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan kanan jalan. "Sebuah lori yang membawa muatan batu kuari yang datang dari arah Paka ke Dungun gagal mengelak dan membrek lalu merempuh kenderaan mangsa," katanya.
Hanyan berkata, rempuhan kuat itu, menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk dan bomba terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa. "Mangsa yang berjaya dibawa keluar kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman dan bagaimanapun mangsa disahkan meninggal sejurus diberi rawatan di Hospital terbabit. "Dua lagi rakan mangsa yang berusia 26 dan 58 tahun serta pemandu lori terbabit yang berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa untuk urusan pengebumian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT