Idukki: Pegawai hutan India berjaya menenangkan dan memindahkan seekor gajah jantan liar yang dilaporkan sudah membunuh sekurang-kurangnya enam orang, menurut laporan media. Gajah berusia sekitar 30 tahun itu yang digelar 'Arikomban', atau 'gadang beras' itu terkenal kerana sering menyerbu kedai beras dan bijirin di negeri selatan Kerala.
Semalam, sepasukan 150 pegawai hutan berjaya menangkap gajah itu selepas lima das tembakan ubat pelali, lapor akhbar Indian Express. Tangkapan itu turut dibantu oleh empat ekor gajah 'kumki' atau gajah jinak terlatih yang digunakan untuk menangkap gajah lain dan kemudiannya dipasang dengan kolar GPS sebelum dilepaskan di sebuah rizab hidupan liar. Pada 2017, 'Arikomban' pernah ditangkap, tetapi berjaya melarikan diri. Disebabkan ia suka memakan beras dan bijirin, pegawai meletakkan perangkap untuk menangkap gajah itu, tetapi mahkamah menghentikan rancangan itu, lapor akhbar itu.
Pencinta alam sekitar menyalahkan pengembangan pesat penempatan manusia di sekitar hutan dan koridor hidupan liar utama menyebabkan berlaku peningkatan konflik antara manusia dan haiwan di bahagian tertentu di India. Menurut kerajaan, India adalah rumah kepada lebih daripada 60 peratus gajah liar Asia. Mengikut bancian gajah yang terakhir pada 2017, India mencatatkan sejumlah 29,964 gajah liar. Tahun lalu, pegawai India menembak mati seekor harimau yang digelar 'Pemakan Manusia Champaran', yang membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang di timur negara itu. Sumber: BH ONLINE |
ADVERTISEMENT