Hanoi: Pihak berkuasa Vietnam menahan 65 orang kerana menyeludup 50 kilogram (kg) dadah yang disembunyikan dalam tiub ubat gigi ke negara itu. Menurut laporan BBC, penangkapan itu susulan penahanan yang sama terhadap empat anak kapal Vietnam Airlines pada Mac lalu.
Empat anak kapal yang ditahan itu adalah wanita yang didakwa membawa tiub ubat gigi di dalam beg tangan selepas penerbangan dari Paris ke Ho Chi Minh City. Difahamkan, mereka diupah untuk mengangkut ubat gigi yang seberat kira-kira 60 kg, bagaimanapun tidak mengetahui ia mengandungi dadah. Kesemuanya kini diikat jamin. Polis Vietnam berkata, minggu ini mereka menemui enam lagi penghantaran dadah yang diseludup masuk ke negara itu menggunakan 'modus operandi' yang sama. Sementara itu, 65 suspek yang ditahan itu disiasat atas pelbagai pertuduhan termasuk membeli, menjual dan mengangkut dadah, lapor media tempatan.
Polis percaya kumpulan penyeludupan sama yang mengupah pramugari serta mengarahkan 65 suspek, dan disyaki sindiket itu berkemungkinan menyasarkan warga Vietnam yang belajar dan tinggal di Perancis untuk mengangkut dadah ke Vietnam. Jumlah dadah yang dirampas melalui laluan udara ke negara itu sejak tiga bulan lalu sudah melebihi jumlah dadah bawaan udara yang diperdagangkan dalam tempoh lima tahun lalu, menurut pihak berkuasa Vietnam. Vietnam mempunyai antara undang-undang dadah yang paling ketat di dunia, bagaimanapun, ia kekal sebagai hab pemerdagangan utama bahan terlarang itu. Bandar Ho Chi Minh adalah tempat transit yang menarik kerana berdekatan dengan negara jiran Kemboja. Mereka yang disabitkan di Vietnam kerana memiliki atau menyeludup lebih daripada 600 gram heroin atau lebih daripada 2.5 kg methamphetamine berdepan hukuman mati. Penalti yang sama dikenakan untuk pengeluaran atau penjualan narkotik haram melebihi kuantiti tertentu. Sumber: BH ONLINE
|
ADVERTISEMENT