Johor Bahru : Suri rumah menangis teresak-esak ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mengabaikan anak asuhannya sehingga cedera, bulan lalu. Tertuduh, Nor Huzaimah Herman, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di bawah pemeliharaannya sehingga mendatangkan kecederaan fizikal. Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah, Jalan Ayu 16, Taman Pelangi Indah di sini, kira-kira jam 11.30 pagi, 21 Mac lalu. Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syafiqah Sha'ari tidak menawarkan sebarang ikat jamin memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin. Bagaimanapun, beliau mencadangkan satu jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM15,000 sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh. Peguam R Sangaran yang mewakili tertuduh kemudian memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan wanita itu mempunyai empat anak yang masih bersekolah. "Suami tertuduh juga hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan hanya RM2,000 sebulan," katanya. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Pelangi Indah sebulan sekali. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Julai depan sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia. Semalam, tular satu hantaran di Facebook dimuat naik pemilik akaun 'Nor Huzaimah Herman Emma' yang dipercayai adalah tertuduh, yang memohon bantuan orang ramai dalam mengumpulkan wang untuk ikat jamin di mahkamah. Dalam hantaran itu, wanita berkenaan turut menceritakan kronologi bermulanya kisah dia menjaga dua beradik yang juga anak kepada seorang wanita berasal dari Sabah, sejak November tahun lalu, yang seterusnya dianggap seperti anaknya sendiri. Seorang daripada dua anak asuhannya itu iaitu mangsa dalam kes berkenaan didakwa cedera akibat terhempap basikal pada 21 Mac lalu sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 28 Mac. Sumber: HARIAN METRO
|
krustykrab replied at 30-4-2023 12:11 PM
PERGINYA KAKAK, ANAK ASUHAN KU YANG KU ANGGAP BAGAIKAN ANAK KU SENDIRI
Assalamualaikum Wbh. Dengan ...
ADVERTISEMENT