New York: Kira-kira satu daripada lima pelajar sekolah tinggi di Amerika Syarikat (AS) pernah melihat keganasan secara langsung membabitkan individu yang tiada kaitan, termasuk pembunuhan menggunakan senjata api.
Mengikut laporan Xinhua yang memetik CNN, dapatan itu berdasarkan kajian dijalankan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS. Keadaan itu sekali gus mencetuskan keganasan dalam masyarakat yang dipanggil sebagai kebimbangan kesihatan awam yang penting. Berdasarkan laporan Pengawasan Tingkah Laku Risiko Belia CDC, pada 2021, rekod menunjukkan 19.9 peratus pelajar sekolah menengah dilaporkan pernah melihat keganasan dalam masyarakat. Kira-kira 3.5 peratus pula dilaporkan pernah membawa pistol sepanjang tahun lalu. Data sama juga menunjukkan pelajar sekolah menengah yang melihat keganasan dalam masyarakat lebih cenderung melaporkan pernah membawa senjata, terbabit dalam penggunaan bahan terlarang dan cuba membunuh diri.
"Secara keseluruhannya, bunuh diri ialah penyebab utama kematian dalam kalangan remaja berusia 14 hingga 18 tahun," kata laporan itu. Menurut laporan berkenaan, penyelidikan yang dijalankan sebelum ini menunjukkan golongan muda mungkin membawa senjata untuk mempertahan dan melindungi diri daripada ancaman keganasan. Ini terutama membabitkan mereka yang menjadi mangsa secara langsung atau merasakan tahap keganasan masyarakat yang tinggi. "Keganasan masyarakat dan membawa senjata ialah kebimbangan ketara belia di AS," menurut laporan itu. Sumber: BH ONLINE
|
ADVERTISEMENT