Sarikei: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terjunam ke dalam parit di Jalan Nanga Entabai, Julau, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, pemandu lelaki berusia 30 tahun disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik Klinik Kesihatan Julau. Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, mangsa dipercayai hilang kawalan semasa memandu lalu terbabas ke laluan bertentangan dan terjunam ke dalam parit di bahu jalan. "Penumpang kereta iaitu isteri kepada mangsa yang cedera di tangan dan dada telah dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan. "Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau Inspektor Mohamad Azri Mohd Azhar di talian 012 9059549.
|
ADVERTISEMENT