Antara kenangan hari raya yang masih basah dalam fikiran Ziana Zain adalah ketika zaman kanak-kanak. "Ketika zaman saya kecil dahulu, kami menetap di Kampung Melayu, Subang. Abah bekerja sebagai anggota polis dan setiap kali hari raya, dia tidak pernah cuti.
"Apabila ditanya, abah lebih suka bekerja kerana mahu menggantikan rakan setugas yang pulang ke kampung. "Disebabkan kami tidak balik kampung, apabila pagi hari raya, abah siapkan termasuk mendandan kami adik beradik untuk pergi beraya. "Hari pertama kami yang perempuan beraya dengan baju kurung. Kami berarak di sekitar kawasan tempat tinggal.
"Hari kedua pula, kami pakai gaun bertingkat. Memang abah yang tentukan fesyen apa yang mahu digayakan pada hari raya. "Kani juga dibekalkan dengan gincu dan sapu tangan untuk kami lap peluh. Bagi mengelak mekap rosak, abah suruh tekap dengan sapu tangan," katanya kepada BH Online. Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain teringat ketika namanya di puncak kegemilangan, dia tidak dapat menikmati hari raya sepenuhnya berikutan jadual kerja padat.
"Kalau dahulu, pada hari raya pertama saya sudah terpacak di RTM untuk program mereka. Ini disusuli pelbagai acara. Tiba-tiba, hari raya pun sudah habis. "Itu belum soal melayan peminat dan saudara mara yang datang. Ada peminat yang sampai jam 3 pagi beraya. "Saya ingat lagi, ketika itu, saya baru selesai menjayakan persembahan. Sampai di pekarangan rumah, saya nampak ada banyak kereta. "Apabila telefon emak, dia kata, semua itu peminat saya yang datang dari jauh. Emak cakap, selagi tidak dapat jumpa saya, mereka tidak akan balik.
"Walaupun penat, saya luangkan masa melayan mereka dan bergambar. Mereka faham bahasa. Selepas dapat bergambar, mereka pun pulang," kata penyanyi Madah Berhelah ini. Apa yang dikongsi Ziana kini tinggal kenangan. Situasi seperti itu tidak lagi dilalui sekarang. "Sekarang, jika ziarah menziarah hanya membabitkan sanak saudara sahaja. Disebabkan abah dan emak sudah berpindah, jadi tiadalah kejadian peminat serbu hendak beraya. "Kalau tidak, ketika tinggal di Seksyen 19, Shah Alam dahulu, seawal jam 8.30 pagi sudah ada yang beri salam hendak beraya.
"Cukup-cukuplah rasanya. Abah pun sudah tidak sihat hendak melayan ramai tetamu. Saudara mara kami sahaja ada lebih 200 orang. "Biasanya, pada 1 Syawal, kami berada di rumah dan tunggu saudara mara bertandang. Abah yang paling tua, jadi ramailah yang ziarah sambil memohon kemaafan. "Hari raya kedua, giliran kami pula pulang ke kampung di Melaka dan beraya di sana," katanya yang beraya dengan anak remajanya, iaitu Muhammad Ammar, Muhammad Aiman serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|