Harapkan pagar, pagar makan padi. Polis yang sepatutnya menangkap penjenayah, merompak sebuah agensi pelancongan di Argentina. Oddity Central melaporkan, pada hari kejadian dua perompak bersenjata memasuki pejabat sebuah agensi pelancongan di Buenos Aires dan melarikan ratusan ribu peso bersama mereka.
Tiga aggota polis yang tiba kira-kira 10 minit selepas dihubungi mangsa kemudian menyoal siasat kakitangan berkenaan di lokasi rompakan sebelum mengejar penjenayah. Ketika itulah salah seorang pekerja menyedari sebuah beg hitam mengandungi wang berjumlah 4 juta peso (RM317,735) yang ditinggalkan perompak berkenaan tidak ditemui. Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan salah seorang anggota polis berjalan keluar dari lokasi kejadian dengan membawa beg tersebut.
Selepas menghubungi balai polis, pemilik agensi itu diberitahu bahawa rekod prosedur yang disusun pegawai mereka tidak menyebut sebarang beg berisi wang. Selepas memeriksa CCTV, seorang pendakwa raya menuntut agar tiga anggota polis tersebut ditahan. Mereka dilihat menuruni tangga bagunan agensi pelancongan itu walaupun terdapat lif. Ketiga-tiga mereka ditahan di kemudahan berbeza minggu ini dan beg hitam berisi wang itu ditemui di salah sebuah rumah suspek. Mereka akan kekal ditahan sehingga siasatan selesai. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT