Sudah tiga tahun pelakon dan pelawak Zizan Razak, 38, tidak beraya di kampungnya di Dungun, Terengganu sejak neneknya, Zainoon Abdullah meninggal dunia akibat kanser. Zizan atau nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak berkata, dia tidak selesa untuk beraya di sana kerana merindui neneknya itu.
"Saya akan tetap pulang ke kampung, tetapi buat masa sekarang saya memilih untuk beraya di Kuala Lumpur. "Raya kedua atau ketiga mungkin saya akan balik sekejap jumpa abah. Selebihnya akan berada Kuala Lumpur," katanya. Zizan ketika ditemui berkata, persiapan menjelang Aidilfitri yang disediakan adalah secara sederhana saja. "Persiapan biasa saja, sama seperti tahun-tahun lalu saya raya bersama ibu dan abang. Saudara-mara yang lain semua berada di Dungun bersama abah, jadi nanti saya akan pulang juga jumpa mereka," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Zizan, suasana beraya di bandar dan di kampung ada perbezaannya tetapi boleh menyesuaikan diri dengan keadaan itu. Sementara itu, Zizan turut memeriahkan pembukaan kedai jam tangan HAOFA di sebuah pusat beli-belah terkenal di sini, baru-baru ini. Majlis yang dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti tarian singa, persembahan nyanyian rap, pemberian belon percuma, baucer tunai, pewangi dan peraduan menarik itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif HAOFA Malaysia, Kent; Ketua Pegawai Pemasaran HAOFA, Tan; dan pelakon, Shaheizy Sam. Zizan ketika ditemui turut kagum dengan rekabentuk dan cara pembuatan jam tangan itu serta bersetuju untuk bekerjasama dengan jenama itu. Dalam pada itu, Zizan berkata, jadual cuti rayanya tidaklah begitu panjang kerana terbabit dengan penggambaran. "Tahun ini dan sebelum-sebelumnya saya tidak menetapkan cuti. Kalau perlu ada penggambaran saya akan lakukan saja," katanya. Terbaharu, Zizan kembali dengan filem Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof yang bakal ditayangkan pada 25 Mei ini. Sumber: Harian Metro
|
anilanil replied at 21-4-2023 03:49 PM
Akan tiba masanya org yg kita syg kembali pada Allah. Raya je la cam biasa. Kan senang ckp tak seles ...
ADVERTISEMENT