Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dari China berjaya menimang bola sebanyak 8,147 kali dalam masa sejam, sekali gus memecah Rekod Dunia Guinness. Lapor portal UPI, Tang Jinfan meraih pengiktirafan itu bagi jumlah timangan bola (bola sepak) terbanyak dengan kedua-dua kakinya dalam tempoh sejam.
Menurut Tang, dia memutuskan untuk mencuba cabaran itu setelah mendapat galakan jurulatihnya, Lin Xiaozhong yang mengambil tahu mengenai kemahirannya menimang bola dengan baik. “Di kelab bola sepak kami, ramai rakan sepasukan mampu menimang bola lebih 1,000 kali dengan kedua-dua kaki, tetapi saya adalah yang terbaik,” katanya. Setelah mengikut nasihat jurulatihnya, Tang meletakkan sasarannya untuk memecahkan rekod dunia. Tambah Tang, dia berharap dapat melanjutkan pengajian di Universiti Shenzhen. “Saya juga berharap menyertai mana-mana pasukan bola sepak profesional dan bermain untuk pasukan kebangsaan China dalam Piala Dunia,” katanya.
Sementara itu, menurut laman sesawang Rekod Dunia Guinness, Tang mula mengenali sukan menimang bola sejak menyertai kem bola sepak musim panas di sekolahnya. Menerusi bimbingan jurulatihnya, dia mula mengasah bakat dan menguasai teknik menimang bola dengan lebih baik. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT