Jho Low didakwa membayar penyanyi rap Pras Michel AS$20 juta untuk bergambar dengan presiden AS Barack Obama pada 2012. Menurut Bloomberg, Michel yang sedang dibicarakan kerana melobi haram, memberitahu mahkamah bahawa dia diupah ahli perniagaan dalam buruan itu sebagai "pembantu selebriti" yang mempunyai akses kepada majlis makan malam kutipan dana Obama di Washington DC.
Michel berkata reputasi Jho Low "terlalu panas" untuk mendapat jemputan, tetapi dia sanggup mencuba dengan bayaran. "Saya pada dasarnya meminta AS$1 juta untuk mula memikirkan bagaimana saya akan mendapatkan gambar ini," katanya kepada mahkamah, ketika disoal peguamnya. Akhirnya, Jho Low membayar Michel AS$20 juta dalam tempoh sembilan bulan sebagai bayaran gambar dia diapit oleh Obama dan isterinya Michelle di hadapan pokok Krismas.
Terdahulu pada Julai 2012, Michel terlibat dalam satu lagi kutipan derma untuk Obama di Miami, Florida di mana penyertaan adalah AS$40,000 sekepala tetapi tidak berjaya meyakinkan pasukan kempen Obama untuk menjemput Jho Low. Sebaliknya, bapa Jho Low iaitu Larry Lau Hock Peng, duduk di sebelah Obama pada satu ketika semasa acara itu. Menjelang 2012, Jho Low mendapat reputasi berparti dengan selebriti seperti Paris Hilton. Pada masa itu, 1MDB, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan di mana Jho Low mempunyai pengaruh, baru sahaja mengumpulkan AS$1.75 bilion melalui bon yang diatur bank pelaburan AS Goldman Sachs. Jumlah itu digunakan 1MDB untuk memperoleh aset tenaga, tetapi pendakwa AS mendakwa bahawa 40 peratus daripada jumlah itu diseleweng untuk faedah peribadi pegawai di 1MDB dan sekutu mereka. Pendakwa raya AS telah menuduh Michel bersubahat dengan Jho Low, yang dikehendaki oleh AS kerana mencuri daripada 1MDB, dan pengubahan wang haram, pencabulan kewangan kempen, bertindak sebagai ejen tidak berdaftar untuk negara asing, mengganggu saksi dan berbohong kepada bank. Michel menghadapi satu lagi tuduhan melobi pegawai dari pentadbiran Donald Trump untuk menggugurkan siasatan ke atas Jho Low. Setakat ini, perbicaraan itu mendedahkan pertemuan Jho Low dengan selebriti AS Kim Kardashian dan anak tiri bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, Riza Aziz. Perbicaraan itu juga mendedahkan bahawa pelakon 'The Wolf of Wall Street' Leonardo DiCaprio bertemu Najib melalui Jho Low. Sumber: MalaysiaKini
|
Perwira2022 replied at 20-4-2023 04:46 AM
Kerajaan Malaysia ni bodoh... Patutnya guna proksi 3rd party utk kidnap mak bapak adik beradik & sed ...
ADVERTISEMENT