Penduduk Qatar akan menikmati cuti panjang sempena Aidilfitri selepas istana mengumumkan pekerja di sektor tertentu akan bercuti dari 19 hingga 29 April. Portal The National melaporkan, kenyataan istana pada Ahad mengumumkan cuti Aidilfitri untuk kakitangan kementerian, agensi kerajaan, badan awam dan institusi.
"Cuti itu akan bermula pada Rabu bersamaan dengan 28 Ramadan 1444, dan akan berakhir Khamis depan, dengan pekerja dijadualkan kembali bekerja pada 30 April," kata kenyataan itu. Sementara itu, Oman mengumumkan cuti Aidilfitri selama lima hari, bermula Khamis hingga Isnin depan. United Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula mengumumkan Khamis akan menjadi permulaan cuti Aidilfitri untuk kedua-dua sektor awam dan swasta. Cuti itu bermula dari 29 Ramadan iaitu Khamis sehingga 3 Syawal.
Tarikh 3 Syawal dijangka pada Ahad jika Ramadan tahun ini berlangsung selama 29 hari. Jika Ramadan tahun ini berlangsung selama 30 hari, tarikh 3 Syawal akan jatuh pada Isnin depan. Penduduk UAE mungkin mendapat cuti empat atau lima hari untuk Aidilfitri bergantung pada penampakan anak bulan. Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial Arab Saudi mengumumkan cuti umum untuk Aidilfitri akan bermula pada Jumaat. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT