Permohonan ikat jamin seorang ahli perniagaan Australia ditolak selepas beliau didakwa melakukan kesalahan campur tangan asing kerana disyaki menerima wang tunai daripada ejen perisikan China, dan Mahkamah Sydney mendakwa tindakan itu supaya suspek tidak meninggalkan negara sebelum perbicaraan bermula.
Majistret, Michael Barko berkata Alexander Csergo adalah 'ahli perniagaan duniawi yang bijak' serta sudah berada dalam radar perisikan Australia untuk beberapa lama sebelum ditangkap pada Jumaat lalu. Pihak pendakwaan mempunyai kes yang kukuh terhadap Csergo, yang tinggal di China selama beberapa dekad, kata Barko ketika menolak permohonan ikat jamin berkenaan. Mahkamah berkata, Csergo didakwa kembali ke Australia tahun ini dengan 'senarai beli-belah' keutamaan perisikan yang diminta oleh dua orang yang disyakinya sejak 2021 sebagai ejen untuk Kementerian Keselamatan Negara China.
Pasangan itu dinamakan di mahkamah sebagai 'Ken' dan 'Evelyn'. Mahkamah diberitahu, senarai beli belah itu sudah ditemui oleh pihak berkuasa perisikan Australia. Csergo diminta untuk menulis laporan mengenai perkongsian teknologi pertahanan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) (AUKUS), perkongsian diplomatik QUAD, bijih besi dan perlombongan litium, kata Barko. Sebelum ini, Csergo, 55, yang juga seorang eksekutif pemasaran, ditahan di pinggir pantai Bondi pada hari Jumaat. Dia adalah individu kedua yang didakwa di bawah undang-undang campur tangan asing Australia, yang menjenayahkan aktiviti yang membantu kuasa asing mengganggu kedaulatan atau kepentingan negara berkenaan. Ia membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun. Csergo hadir di mahkamah melalui pautan video dari Penjara Parklea di mana dia ditahan sebagai banduan keselamatan tinggi. Ibu dan abangnya berada di mahkamah. Csergo telah memberitahu ejen perisikan Australia dalam temu bual bahawa apabila dia bertemu Ken dan Evelyn di kafe dan restoran di Shanghai, pertubuhan itu kosong dan dia mengesyaki mereka tidak bersalah, kata Barko. Dia mengalami tahap kebimbangan yang tinggi dan berada dalam 'mod selamat', katanya kepada pihak berkuasa Australia. Csergo telah membalas sekitar 3,300 mesej WeChat dengan pasangan itu, dan menerima pembayaran tunai dalam sampul surat, kata Barko. Barko yang membangkitkan kebimbangan terhadap keselamatan Csergo, berkata sesetengah orang mungkin tidak mahu dia memberikan keterangan terhadap China. Peguam Csergo, Bernard Collaer yang memohon ikat jamin, berkata laporan yang ditulis Csergo adalah berdasarkan maklumat sumber awam dan kes terhadap anak guamnya adalah 'cetek dan tidak berasas'. Pendakwa raya, Conor McCraith, mempertikaikan perkara itu dan berkata ia bukan daripada sumber awam kerana ia terbabit secara rahsia dengan dua orang lain untuk menyediakan laporan. Dia juga mendakwa Csergo tidak datang ke pihak berkuasa Australia dengan kebimbangannya mengenai Ken dan Evelyn, sebaliknya menjemput Ken untuk datang ke Australia. Collaery berkata membuat pembayaran tunai adalah amalan perniagaan biasa di China. "Sudah tentu dia percaya Ken dan Evelyn memerhatikannya. Begitulah cara ia berfungsi di China, dia menjadi sangat bimbang mengenainya," kata Collaery. Csergo bekerja di China sejak 2002 dalam pemasaran data, termasuk untuk sebuah agensi utama pengiklanan antarabangsa. Collaery berkata kerjaya Csergo telah 'merosot' sejak penahanannya dan dia tidak berhasrat untuk kembali ke China, sebaliknya merancang untuk untuk mendapatkan ganti rugi daripada kerajaan Australia kerana merosakkan kerjayanya. Collaery memberitahu media di luar mahkamah bahawa kes itu adalah isu 'kebebasan sivil' dan menimbulkan kebimbangan mengenai skop undang-undang campur tangan asing yang diperkenalkan pada 2018. "Jika anda bekerja sebagai perunding di mana-mana negara asing... dan anda menjalankan kerja perundingan yang mungkin berkaitan dengan pengaruh asing atau keselamatan negara Australia, seperti artikel mengenai pembekalan litium atau bijih besi.. anda boleh dituduh atas kesalahan orang asing dan campur tangan," katanya kepada pemberita. Sumber: BH ONLINE |
ADVERTISEMENT