Bagi mengelak soalan 'maut' berkaitan jodoh, ada yang sanggup mencari teman lelaki dan wanita untuk disewa. Bukan hanya yang bujang malah ada juga bapa dan ibu tunggal mencuba nasib untuk mencari pasangan dengan harapan dapat beraya dan bergambar bersama pada 1 Syawal nanti.
Alternatif itu kini menjadi trend dan kaedah terbaru golongan masa kini mencari pasangan segera bagi mengaburi mata orang terdekat supaya menyangka mereka sudah berpunya. Biarpun pernah kecundang dalam percintaan, Ranisah Rabain tidak serik untuk bercinta lagi, malah kini dalam usaha mencari pasangan dengan harapan dapat beraya bersama pada 1 Syawal nanti. Enggan menanti dirinya disunting, Ranisah, 23, berikhtiar dengan memuat naik video mencari teman lelaki untuk disewa. Berdasarkan keterangan dalam video, Ranisah berkongsi tema baju rayanya iaitu hijau pudina dan hitam selain berkongsi kriteria lelaki pilihannya yang mempunyai ketinggian 170 sentimeter, pandai mengambil gambar dan boleh teruskan hubungan hingga ke jinjang pelamin.
Berkongsi kisahnya itu, Ranisah berkata, dia bukan memuat naik video berkenaan kerana mengikut trend semasa di TikTok, sebaliknya serius untuk ada teman lelaki pada hari raya pertama nanti. "Tahun lalu, saya ada teman lelaki namun kami berdua terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kajang, Selangor empat hari sebelum hari raya. "Bagaimanapun ada masalah yang berlaku hingga menyebabkan saya minta putus dan 6 Januari lalu, saya berkenalan dengan seorang lelaki, malah kami hampir bertunang. "Saya juga sudah buat tempahan pelamin, jurusolek, pelukis inai dan jurugambar namun terpaksa batalkan hasrat untuk bertunang kerana ibu teman lelaki saya tidak merestui hubungan kami dan ada sebab lain," katanya ketika dihubungi Harian Metroi. Ranisah mengakui serik untuk bercinta lagi namun ada individu menasihatkannya supaya tidak bersendiri kerana bimbang serangan panik ke atas dirinya. "Mulanya ingatkan asma, rupanya ada serangan panik, jadi selain keluarga, saya juga perlukan sokongan tertentu daripada teman istimewa. "Oleh kerana itu, saya ikhtiar cari pasangan di TikTok yang sebenarnya bukan untuk 1 Syawal sahaja, tetapi mungkin jalinkan hubungan lebih serius jika ada keserasian di antara kami," katanya. Menurutnya, dia ada menerima beberapa kiriman mesej di TikTok selepas memuat naik video berkenaan. "Setakat ini, belum ada yang serius menyatakan minat untuk beraya dengan saya. "Saya 'okay' sahaja jika ada yang nak berkenalan dan keluarga juga tiada masalah terima lelaki itu sebagai tetamu untuk datang beraya bersama. "Cuma kalau boleh, saya mahu mengenali hati budi dahulu sebelum melangkah ke hubungan lebih serius selain dapat restu emak ayah pihak si lelaki sebelum terlanjur sayang dengan pasangan," katanya. 'Mana tahu kekasih sehari bertukar isteri' "Beratus juga DM (kiriman mesej) yang saya terima sampai tak sempat nak baca semua," kata model dan usahawan Fendy Syam. Fendy, 30, antara individu menawarkan diri menjadi teman lelaki untuk disewa wanita untuk beraya bersama pada 1 Syawal nanti. Bagaimanapun dia meletakkan harga tertentu untuk mereka yang berminat menjadikannya sebagai teman lelaki untuk disewa. "Saya nampak ramai muat naik video trend itu, jadi saya buat juga kerana bagi saya, tak salah mencuba. "Cuma saya kenakan caj RM2,000 jika ada yang berminat jadikan saya teman lelaki untuk disewa. "Mana tahu ada yang 'sangkut' dan setakat ini ramai DM nak berkenalan, tak kurang juga nyatakan minat untuk jadikan saya teman lelaki sewaan, bukan hanya bujang malah janda pun ramai," katanya. Menurutnya, dia belum membuat pilihan wanita mana akan diajak beraya bersama kerana sibuk dengan kerja harian. Bagaimanapun Fendy tidak menolak kemungkinan menjalin hubungan serius dengan wanita terbabit jika ada keserasian antara mereka. "Saya pernah bercinta dahulu namun kini solo, mungkin kerana tiada masa untuk beri layanan memandangkan wanita perlukan perhatian. "Jadi setiap kali berkumpul dengan keluarga, mak cik dan pak cik akan bertanya bila nak kahwin malah emak sampai nak carikan calon isteri untuk saya. "Sebab itu saya okay sahaja dengan trend ini (cari pasangan untuk disewa) kerana dapat bantu juga mereka yang masih solo cari jodoh. "Siapa tahu daripada teman wanita sehari akan bertukar jadi isteri," katanya. 'Anak tanya bila nak ada papa?' "Niat saya untuk mencari teman beraya bersama pada hari raya pertama nanti, mana tahu daripada berkawan jadi jodoh," kata ibu tunggal empat anak, Fadzrini Mohd Nazari. Fadzrini, 35, yang menetap di Seksyen 29, Kampung Lombong di sini, antara wanita yang mencari pasangan untuk 'disewa' pada 1 Syawal ini. Menurutnya, dia 'mengiklankan' video mencari pasangan di TikTok bukan semata-mata untuk content atau mengikut trend yang menjadi ikutan ramai di platform berkenaan. Sebaliknya wanita itu serius mencari lelaki yang boleh menjadi suami selepas dua perkahwinan terdahulu berakhir dengan perceraian. "Saya sudah dua kali berkahwin, yang pertama pada 2010 sebelum berpisah tujuh tahun lalu. Perkahwinan kedua saya pada 2019 namun jodoh kami tak panjang dan sepakat berpisah, November tahun lalu. "Hasil perkahwinan dengan bekas suami pertama, saya dikurniakan dua cahaya mata. Dua lagi zuriat hasil perkahwinan kali kedua. "Nak dijadikan cerita, ini kali pertama saya beraya tanpa suami dan anak bertanya bila nak ada papa baharu lebih-lebih lagi apabila tengok rakan lain berbelanja kelengkapan raya dengan ayah mereka. "Disebabkan itu, saya ikhtiar cari pasangan dengan muat naik video di TikTok kerana mana tahu berkat Aidilfitri saya boleh dapat pengganti," katanya. Selepas berkongsi di TikTok tempoh hari, Fadzrini berkata, ramai lelaki yang menghantar kiriman mesej kepadanya untuk berkenalan. "Banyak sangat DM (kiriman mesej) sampai tak terbalas mesej dan ada sebahagiannya sempat saya baca. "Ada yang mesej kata sanggup jadi bapa kepada anak saya namun setakat ini belum ada yang betul-betul berminat jadi pasangan untuk disewa. "Kalau ada yang serius, saya boleh bayar RM50 sehari namun yang ikhlas tanpa bayaran lagi digalakkan," katanya. Menurutnya, dia sedia menjalin hubungan dengan teman lelaki sewaannya itu bagi mengenali hati budi masing-masing kerana pintu hatinya belum tertutup namun tidak mahu terburu-buru dalam mencari pasangan. "Jujurnya mencabar untuk membesarkan empat anak kerana mereka masih kecil dan bersekolah. "Lagipun saya bekerja sebagai kerani sahaja namun saya tidak terdesak malah enggan pisang berbuah dua kali dan mahu jadikan kesilapan dalam perkahwinan lalu sebagai pengajaran. "Jika ada yang serius sekalipun, saya mahu berkawan dahulu, tengok perangainya dan paling penting lihat sejauh mana dia layan anak," katanya. Setakat ini, Fadzrini berkata, keluarga terutama ibunya ada bertanya bila dia mahu cari pengganti. "Buat masa ini belum ada tetapi apa pun, biarlah saya cari sendiri. "Anak sulung saya tidak kisah saya kahwin atau tidak, cuma adiknya yang lain ada bertanya," katanya. Trend sewa teman tidak selari ajaran Islam Trend mencari teman lelaki atau wanita untuk 'disewa' dengan niat menutup mulut keluarga dan saudara-mara daripada bertanya perihal jodoh wajar dihentikan kerana bertentangan dengan syarak. Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, ia kerana niat tidak menghalalkan cara dan umat Islam ditegah mempromosi atau menjadikan trend itu sebagai ikutan. "Allah bagi kita berkasih sayang, malah Islam juga menuntut kita berpasangan. "Bagi menghalalkan hubungan, kita dituntut untuk berkahwin supaya ada ikatan yang sah. "Jadi, trend menyewa lelaki atau perempuan untuk menjadi teman istimewa pada pagi raya bagi mengelak soalan 'maut' berkaitan jodoh tidak selari dengan tuntutan agama. "Lagipun dalam ajaran Islam tak benarkan buat begitu hanya untuk menutup malu," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. Menurutnya, trend itu juga tidak boleh dibiarkan kerana boleh menjatuhkan maruah wanita dan lelaki terbabit. Beliau berkata, ia juga dikhuatiri mengundang maksiat kerana tiada batas antara lelaki dan wanita. "Justeru, saya nasihatkan orang ramai sama ada anak muda mahupun yang sudah dewasa supaya hentikan buat perkara terlarang dengan cara menyewa pasangan. "Jangan sebarkan ideologi pelik kerana boleh merosakkan generasi masa depan dan membuka pintu zina," katanya. Dalam pada itu, Mohd Izhar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertanya soalan sensitif berkaitan jodoh atau zuriat yang boleh menimbulkan rasa kurang senang hingga menyinggung perasaan ahli keluarga yang belum berkahwin. "Aidilfitri adalah masa untuk kita berkumpul dengan insan tersayang, jadi tak perlu tanya soalan sensitif misalnya sudah kahwin atau belum dan bila nak dapat anak. "Ia kerana segelintir mereka yang bujang akan malu dengan soalan berkenaan, jadi tak perlu tanya dan hormat privasi serta kehidupan orang lain seperti mana kita mahu dihormati. "Ajaran Islam juga sudah menetapkan bahawa sebaik-baik manusia adalah mereka yang tidak mengamalkan serta meninggalkan perkara yang tiada kaitan dan faedah," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
nakkomenjugak replied at 17-4-2023 03:23 PM
Halah3 yang ada anak pun birah bebenooooo
Jaga jelaaaa anak2 ko tu dulu
tak bersawang mana lagi priv ...
ADVERTISEMENT