Kapal tangki minyak milik Singapura ditemui dan diiring ke pelabuhan Abidjan di Ivory Coast semalam, selepas lima hari dirampas lanun di Teluk Guinea. Ketua Staf Angkatan Tentera Ivory, Lassina Doumbia, berkata penemuan kapal tangki itu susulan operasi yang dijalankan tentera laut Ivory Coast bersama pesawat tentera laut Perancis.
"Semua anak kapal berada dalam keadaan selamat dan sihat," katanya dalam kenyataan. Pihak berkuasa pelabuhan Singapura pada Selasa lalu, berkata kapal tangki berkenaan dirampas 'individu tidak dikenali', pada jarak kira-kira 300 batu nautika dari Pantai Gading bersama 20 anak kapal dari pelbagai negara. Mengikut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Teluk Guinea menjadi kawasan tumpuan lanun global sejak beberapa tahun lalu walaupun insiden berkurangan sejak 2021 apabila pihak berkuasa negara itu meningkatkan usaha keselamatan, dibantu kapal tentera laut asing.
Sebelum ini, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) menerima laporan sebuah kapal tangki minyak berdaftar Singapura, SUCCESS 9, dinaiki beberapa individu tidak dikenali. MPA berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 malam waktu tempatan. Sumber: BH ONLINE
|
ADVERTISEMENT