SEREMBAN – Seorang bapa tunggal tidak menjangka bakal berhadapan dengan masalah kesihatan sekaligus menyukarkan dia untuk mencari rezeki bagi membesarkan empat anak berusia sembilan hingga 16 tahun.
Bapa tunggal berkenaan, Abdul Hamid Shaari, 59, berkata, sejak lima bulan lalu, dia tidak boleh berkerja lagi kerana diserang sakit saraf yang menyukarkan pergerakkannya untuk terus mencari rezeki sebagai tukang paip. Menurutnya, sejak itu juga dia membuat keputusan untuk berpindah dari kediaman yang disewa dengan kos RM900 sebulan ke sebuah bilik kecil atau stor di kawasan rumah kedai di Taman Tuanku Jaafar yang sewanya lebih murah berbanding tempat tinggal sebelumnya. “Kalau dahulu, saya boleh bekerja, memang saya tak terfikir langsung untuk memohon bantuan. Malah, sehingga ke hari ini pun saya tidak memohon bantuan lagi walaupun ada kalanya kami berhadapan dengan masalah kewangan.
“Duit simpanan saya hampir habis. Macam baju, buku sekolah memang saya tak dapat nak belikan yang baharu. Persiapan raya apatah lagi kerana pendapatan saya sudah terputus. “Namun, ada beberapa pelanggan yang mengetahui nasib saya ini menghulurkan sumbangan makanan dan duit untuk kami lima sekeluarga meneruskan kehidupan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Ujar Abdul Hamid, dia terkejut apabila semalam pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) datang ke kediaman sewanya itu setelah mendapat tahu mengenai keadaan mereka sekeluarga dari guru anaknya yang berusia 16 tahun. “Alhamdulilah, terima kasih cikgu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tuanku Jaafar. Saya benar-benar tak sangka dan kini saya sedang mencari rumah sewa baharu yang akan dibayar sewa bulannya oleh MAINS,” ujarnya. Bagaimanapun menurut bapa tunggal berkenaan, dia masih lagi bimbang dengan masa depan anak-anaknya yang masih kecil serta bersekolah itu. “Saya ada empat anak, tiga daripadanya hasil dari perkahwinan pertama. Bekas isteri saya itu mahu bekerja di luar negara dan saya buat keputusan untuk menjaga kesemua anak kami sebelum akhirnya saya mendapat surat cerai yang dihantar secara pos pada tahun 2012. “Kemudian saya sekali lagi berkahwin, namun bercerai juga atas sebab masing-masing mempunyai anak-anak serta sukar untuk mendiami di bawah satu bumbung,” katanya. Bagaimanapun menurutnya, hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan seorang anak yang mana anaknya itu dijaga olehnya sehingga kini. “Tak sanggup saya nak berpisah dengan anak-anak. Biarlah apa pun yang berlaku, terpaksa berpindah ke mana-mana tempat pun asalkan ada anak-anak,” jelasnya. Malah menurutnya, semua anak-anaknya memahami keadaan hidup mereka yang sukar sejak lima bulan lalu dan tidak banyak merungut. “Mereka pergi tarawih pasti akan bawa makanan pulang dan kami berkongsi makanan yang sama,” katanya. Sementara itu, MAINS akan membantu keluarga tersebut dengan bantuan deposit rumah sewa baharu dan bayaran sewa selama tiga bulan. Selain itu, amanah zakat MAINS juga akan meringankan beban keluarga ini dengan bantuan kewangan secara bulanan dan bantuan-bantuan kebajikan yang merangkumi persekolahan dan sara hidup. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT