Lelaki kudung kaki dan tangan kanan dari United Kingdom (UK) berjaya mendaki Gunung Kilimanjaro untuk menyempurnakan penghantaran burger dengan altitud tertinggi di dunia. Mewakili badan amal Standing Tall yang diasaskannya pada tahun 2020 dan tajaan dari Uber Eats, Andy Reid mendaki Gunung Kilimanjaro setinggi 5,895 meter bersama rakan karibnya Daniel Hodges.
Mereka turut ditemani 22 pendaki sukarelawan dan berjaya menyelesaikan misi penghantaran burger sayuran dari British Honest Burger di Manchester yang dibungkus dengan kaedah vakum ke puncak gunung dalam tempoh 14 hari tahun lalu. Minggu lalu, misi tersebut menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinnes dan Reid yang juga bekas anggota tentera turut menjadi lelaki kudung pertama dari UK untuk mendaki gunung di Tanzania itu. “Saya pernah mendaki gunung tersebut pada tahun 1999 ketika masih mempunyai semua tangan dan kaki namun masih merasa sangat sukar dan mencabar.
“Tetapi saya tetap memilih melakukan semula aktiviti ini kerana merasa ia usaha yang bagus untuk menunjukkan apa yang boleh dicapai oleh orang kurang upaya dengan berbekal kekuatan minda serta kumpulan sokongan yang baik,” jelasnya. Pada 13 Oktober 2009, Reid mengalami kecederaan parah selepas terpijak alat letupan buatan Taliban semasa melakukan rondaan di Wilayah Helmand, Afghanistan, menyebabkan kedua-dua kaki dan lengan kanannya terpaksa dipotong. Sebagai memperingati peristiwa hitam itu, setiap tahun pada bulan Oktober, Reid mencabar dirinya dengan pelbagai aktiviti ekstrem untuk mengumpul dana bagi persatuan yang banyak membantunya melalui tempoh sukar dalam hidupnya. Reid mengambil masa dua tahun untuk membuat persiapan bagi menyempurnakan tugas berat di Kilimanjaro dan menyesuaikan kaki prostetiknya yang mengandungi mikropemproses berteknologi tinggi bagi membolehkan alat itu membantunya bergerak di atas permukaan gunung yang berliku. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT