Luar biasa sungguh apabila seorang pekerja sebuah syarikat di Shenzhen, China, memenangi cabutan bertuah cuti bergaji selama setahun. Perkara itu diumumkan majikannya pada acara makan malam tahunan syarikatnya, pada Ahad lalu.
Dalam video tular, kakitangan lelaki itu dilaporkan memegang jawatan pengurusan, dilihat memegang replika 'cuti bergaji 365 hari'. Seorang kakitangan bahagian pentadbiran di syarikat itu yang dikenali sebagai Chen, menjelaskan dalam video itu, kemenangan itu menunjukkan pemenang itu berusaha sebaik mungkin sebagai seorang pekerja. Katanya, ketua mereka juga terkejut mendapati seorang kakitangan memenangi hadiah itu. "Syarikat akan berbincang dengan pemenang, jika dia lebih suka menukar hadiah cuti itu dengan wang atau menikmati cuti bergajinya," katanya.
Menurut laporan media tempatan, makan malam tahunan syarikat itu tidak diadakan selama tiga tahun kerana Covid-19. Syarikat itu memberikan cabutan bertuah untuk memberikan kakitangan berehat daripada tekanan kerja. Kisah pekerja berkenaan meraih perhatian seluruh China dengan orang ramai berharap dapat bekerja di syarikat itu dengan bertanyakan sama ada masih ada kekosongan. Ini bukan kali pertama syarikat China menawarkan cuti bergaji selama setahun sebagai hadiah utama cabutan bertuah. Pada Januari 2022, seorang kakitangan jualan dari syarikat lain, juga di Shenzhen, juga memperolehi hadiah cuti bergaji 365 hari. Kakitangan itu akhirnya menukar sebahagian daripada hadiahnya kepada wang tunai sebelum menyumbangkan sebahagian daripadanya kepada badan amal tempatan, lapor media China. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT