Seekor kucing berusia dua tahun yang sakit selepas menelan 11 getah rambut kepunyaan pemiliknya, berjaya diselamatkan. Daily Mirror melaporkan, Amy Richards, 29, dan pasangannya, Jamie Lamb, 28, memelihara kucing baka Moggy putih bernama Nero itu sejak ia berusia lapan minggu.
Pasangan yang tinggal di Newcastle itu bagaimanapun tidak tahu bahawa Nero telah mencuri getah rambut Richards yang diletakkan di meja tepi katil serta menelannya. Menurut saluran berita ChronicleLive, Richards mengetahui keberadaan getah rambutnya apabila Nero muntah dan mula berasa bimbang apabila ia jatuh sakit selepas keluar kepingan kedua. Mereka kemudian membawa haiwan itu ke hospital Westway Vets, di mana ujian ultra bunyi mendedahkan lebih banyak getah rambut terkumpul di dalam perut Nero. Ia perlu dikeluarkan segera kerana boleh menyebabkan halangan dalam sistem badan yang boleh mengancam nyawa.
Doktor haiwan, Lucy Carr, pengarah klinikal, Caroline Scobie dan jururawat veterinar, Tilly Gladstone kemudian bekerjasama menarik keluar getah rambut tersebut menggunakan endoskop dan alat pencengkam. Sembilan lagi getah rambut berjaya ditarik keluar dari perut Nero semasa prosedur yang berlangsung selama satu jam setengah. “Kami tidak percaya ia telah menelan sebegitu banyak getah rambut. Di Westway Vets, kami telah mengeluarkan pelbagai jenis barang seperti stoking, mainan dan itik getah daripada anjing, tetapi ini adalah luar biasa bagi kucing,” kata Carr. Nero kini pulih sepenuhnya. Richards percaya bahawa personaliti haiwan itu yang ingin tahu menyebabkan ia memakan getah rambut. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT