Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membangunkan mesin prototaip untuk mengira bilangan jemaah masjid. Ia antara lain bagi membantu proses pengumpulan data sebagai langkah meningkatkan kadar jemaah masjid menjelang 2025.
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, mesin berkenaan sedang dibangunkan bagi mendapatkan data jemaah masjid. "Kita akan bangunkan mesin prototaip yang akan dipasang di masjid-masjid. Kita juga sedang bangunkan aplikasi untuk sistem ini. Apabila mesin ini siap, ia akan berfungsi untuk mengimbas berapa ramai jemaah yang masuk ke masjid pada setiap waktu sembahyang. "Usaha ini selaras dengan pelan tindakan peningkatan jemaah masjid menjelang 2025 bagi meningkatkan kadar jemaah di masjid," katanya di sini, hari ini. Mohd Zaidi berkata, ketika ini, mesin berkenaan sedang diuji keberkesanannya di dua masjid di daerah ini.
"Kita berharap ia akan berjaya dan membuahkan hasil yang positif sebagai suatu daripada usaha untuk meningkatkan lagi syiar Islam di negeri ini," katanya. Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun melancarkan Pelan Peningkatan Jemaah Masjid Negeri Sembilan (JEMAAH) bagi tempoh dua tahun sehingga tahun hadapan. Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan 100 masjid di negeri itu menjadi pusat pembangunan ummah sehingga akhir 2024 atau awal 2025. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT