Aina Abdul menyangkal dakwaan dia menyingkirkan pengurusnya sebab bergaduh. Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 30, sebaliknya berkata, keputusan bekas pengurusnya itu meletakkan jawatan sejak sebulan lalu adalah keputusan sendiri.
"Jujur saya katakan, saya tak pernah singkirkan dia. Sesiapa yang keluar dari pasukan kami itu adalah keputusan mereka sendiri. "Dia ada sebab tersendiri berbuat demikian dan sewajarnya punca dia berhenti ditanya sendiri kepadanya. "Perkara itu berlaku dengan pantas... biarlah apa yang berlaku saya sahaja yang tahu. Saya pun tak berani nak cakap banyak sebab ia terlalu peribadi dan isu dalaman," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Aina berkata meskipun sudah tidak mempunyai hubungan profesional namun tiada sebab mengapa dia perlu bermasam muka dengan bekas pengurusnya itu. Apatah lagi kata Aina, mereka sudah bekerjasama sejak 2019 dan tidak mempunyai sebarang masalah jika bertembung di mana-mana acara. "Memanglah sedih atas apa yang berlaku. Namun saya percaya rezeki untuk kami bekerjasama setakat ini sahaja.
"Saya bukan jenis suka bermasam muka, jadi tidak timbul isu harus minta maaf atau memaafkan. "Saya tiada masalah untuk berjumpa dia di mana-mana majlis selepas ini," ujarnya. Desas-desus konflik di antara Aina dan bekas pengurusnya itu mula timbul apabila mereka dilihat tidak lagi bersama dalam beberapa majlis sebelum ini selain penyanyi itu sudah menukar nombor telefon pihak pengurusannya di laman sosial.
Dalam perkembangan lain, Aina berkata, dia akan menjadi seorang juri yang tegas dan berterus-terang apabila di meja juri program BS5 yang bakal bersiaran pada 7 Mei ini. “Kalau ada yang kecam saya sebagai juri, saya tidak akan membalas. Bukan bermaksud lemah tetapi bagi saya semua orang ada kebebasan bersuara. Malah saya sendiri banyak belajar dari komen netizen.
“Saya akan menjadi juri yang jujur dan sedikit tegas namun tidaklah sampai tahap garang,” jelasnya. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|