Seorang pegawai pengkuatkuasa direman selepas disyaki bersubahat menerima rasuah berjumlah RM7,000 untuk mengubahsuai laporan kimia berkaitan satu kes dadah. Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif di Mahkamah Majistret di sini.
Menurut beliau, suspek direman selama enam hari bermula hari ini hingga 15 April nanti. “Lelaki berusia lewat 30-an itu ditahan sekitar jam 3.30 petang semalam di pejabat SPRM Kedah. “Dia dipercayai bersubahat dengan seorang lagi penguatkuasa yang direman sejak Sabtu lalu, untuk menerima rasuah sebagai balasan mengubahsuai laporan kimia berkaitan kes dadah supaya kes diturunkan kepada Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada Getaran hari ini. Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar, ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.
Sementara itu dalam kes berbeza di Kuala Terengganu, dua wanita termasuk seorang Ketua Pembantu Tadbir sebuah jabatan di negeri berkenaan ditahan kerana disyaki menyalahgunakan jawatan untuk menyokong syarikat milik adik iparnya bagi mendapatkan beberapa perolehan pembekalan di jabatan tersebut. Sumber berkata, kes salah guna kuasa itu dipercayai berlaku sejak 2019 dan melibatkan lebih 10 perolehan pembekalan, yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM30,000. “Suspek pertama yang juga Ketua Pembantu Tadbir berusia dalam lingkungan 40-an ditahan kira-kira jam 1.45 petang manakala pemilik syarikat berusia lewat 30-an ditahan kira-kira jam 2.10 petang semalam di pejabat SPRM Terengganu ketika hadir memberi keterangan. “Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya. Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. “Kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009,” katanya, ringkas. Sumber: GETARAN |
ADVERTISEMENT