Berpantang maut sebelum ajal. Seorang nelayan terselamat biarpun tiga kali digigit buaya sepanjang 4.6 meter. Dalam kejadian di Archer Point, Australia Sabtu lalu, lelaki berusia 44 tahun itu dipercayai sempat mencungkil mata reptilia berkenaan dengan jarinya.
Daily Star dipetik Harian Metro melaporkan, meskipun begitu, serangan reptilia berkenaan menyebabkan mangsa patah tulang dan parah di kepala, perut dan kakinya. Ketika kejadian, mangsa yang sedang berenang diseret buaya itu jauh di bawah permukaan air, tetapi dapat melepaskan diri dan berenang ke arah batu sebelum pasukan penyelamat tiba. Dia kemudian diberi bantuan perubatan oleh sekumpulan enam petugas sebelum diterbangkan ke Hospital Cairns untuk menerima rawatan lanjut. Kakitangan Perkhidmatan Ambulans Queensland Valerie Noble berkata, buaya itu menggigit lelaki terbabit sebanyak tiga kali kemudian menyeret mangsa.
"Dia berjaya masukkan jarinya di mata buaya itu beberapa kali sebelum berenang ke arah pantai. "Dia seorang lelaki yang sangat bertuah, tidak ramai orang akan hidup untuk menceritakan kisah seperti itu," katanya. Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar dan Sains Queensland mengesahkan kejadian dan akan menyiasat insiden berkenaan. Archer Point merupakan kawasan perkhemahan popular terletak kira-kira 20 kilometer (km) ke selatan Cooktown di Semenanjung Cape York, Queensland. - CARI
|
ADVERTISEMENT