Perasaan Datuk Aishah berbunga-bunga dan ceria walaupun tanpa pasangan hidup. Status sebagai ibu tunggal sejak Disember 2021 melegakannya kerana dia mempunyai lebih masa bersama anak-anak yang kini sudah dewasa.
"Tak dinafikan pada masa ini saya seronok dengan kehidupan solo, saya rasa macam dulu-dulu. Anak saya pun sudah besar dan ada banyak masa untuk diri saya sendiri. "Orang perempuan lain sikit, bila anak dah besar. Buat apa saya nak fikir masak, baju dah basuh ke. Jadi, saya gembira dengan kehidupan sekarang," katanya kepada Harian Metro. Menambah kegembiraan penyanyi bernama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin ini apabila kebanyakan pakaian sudah bertukar kepada saiz S. "Tak dinafikan dulu saya sedih juga bila tengok ada baju cantik, tapi tak dapat dibeli sebab tiada saiz. Perkara ini hanya orang berbadan besar saja tahu.
"Tapi, sekarang sudah berbeza dan itu yang seronoknya. Sekarang saya boleh beli baju baharu sebagai hadiah untuk diri sendiri. Dapatlah merasa pakai pelbagai baju, dulu hanya lalu dan lihat saja. Apa yang boleh beli adalah beg tangan dan kasut," katanya. Menurutnya, pernah beberapa kali dia cuba menyarung baju kebaya sejak beberapa tahun lalu, tetapi baru sekarang ia menjadi kenyataan dan ia adalah pencapaian untuk diri sendiri.
Penyanyi lagu popular Janji Manismu dan Camar Yang Pulang ini mendedahkan, dia pernah berdepan hinaan dan ejekan berkaitan bentuk tubuh badan dan sudah penat melayaninya. "Gelaran tong dram dan diperli individu tidak dikenali ketika berada di tempat awam dah lali saya dengar. Pernah dulu saya pergi cuba pakaian di pusat beli-belah, masuk tempat baju 'over size' ada yang perli katanya butik yang saya masuk itu untuk 'tong dram' saja. "Ada juga yang perli saya ketika dalam kapal terbang. Padahal saya tak pernah pun kenal dia. Mentang-mentang kita berbadan besar, dia sesuka hati buli macam kita tak ada perasaan pula," katanya. Sudah lumrah manusia sering tidak puas hati dengan pencapaian orang lain. Apabila berat badannya menyusut, nama Aishah masih menjadi pertikaian ramai.
"Macam-macam tuduhan diberikan kononnya saya buat pembedahan bariatrik sebab nak cantik dan kurus semata-mata. Sedangkan saya buat untuk kesihatan. "Bila dah kurus, ada pula yang kata kurus sangat, nampak sakit.Jujur, bukan senang nak puaskan hati semua orang. "Mental dan fizikal saya kena seiringan. Ini bentuk yang saya nak. Walaupun ada yang buat bariatrik, tapi masih gagal kurus kerana kurang berdisiplin dalam amalan pemakanan. Saya hanya makan nasi sekitar tiga atau empat sudu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Aishah bersama Ezad Lazim bakal menjayakan program berbuka puasa bersama penghuni Rumah Anak Yatim Dan Miskin Baitu Saidati Khadijah di Sungai Pusu, Selangor di Grand Barakah Hotel, Ampang, Kuala Lumpur, hari ini. "Saya bersyukur diberi peluang menjayakan program amal kerana antara lain sebagai usaha membantu golongan kurang bernasib baik pada bulan mulia ini. "Namun, kita kena tengok laman sendiri dulu sebelum pergi ke laman orang lain. Pastikan yang anak-anak kita yang depan mata, di sekeliling kita yang patut diutamakan. "Kita jangan tengok yang jauh. Tengok yang depan mata yang berkaitan dengan kita. Kadang-kadang kita rasa nak buat baik sedangkan yang kita sendiri pun kita abaikan," katanya.
Menurutnya, ketika terbabit berkempen dalam politik dahulu, dia menangis melihat kesusahan masyarakat. "Saya tak tahu bagaimana nak bantu. Banyak orang susah dalam pelbagai cara seperti ada beberapa anak Orang Kelainan Upaya dan yang terlentang. Jadi penjaganya nak kerja tak boleh.
"Ada yang jaga anak terlantar dan ia menyedihkan. Rasanya kita kena terapkan perasaan kebajikan. Kena banyak terbabit. "Dalam kes ini saya terbabit dalam program hiburan untuk bantu mereka. Ada kalanya kita kena beli tiket pula untuk sokong. Tak semestinya dalam satu cara saja. Kena kreatif sikit. Nak cari saham akhirat kena kreatif juga," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|