Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memohon masjid dan surau diri Jumaat di Perak mengadakan solat hajat untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin susulan serangan rejim Zionis Israel di Masjid Al-Aqsa.
Pengarahnya, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, solat hajat itu mohon diadakan selepas solat Jumaat hari ini. Ia ekoran serangan dan kekasaran tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang berada di Masjid Al-Aqsa. “Serangan tersebut tidak sepatutnya berlaku terhadap umat Islam di Palestin yang sedang menjalani ibadah di bulan Ramadan,” katanya dalam surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau diri Jumaat, pada Khamis. Dalam serangan pada Rabu, sekurang-kurangnya 12 orang cedera serta lebih 350 rakyat Palestin ditahan. Dalam satu video di media sosial, polis Israel yang bersenjata lengkap menggunakan belakang senapang dan kayu untuk memukul jemaah Palestin yang berada di dalam Masjid Al-Aqsa.
Terdahulu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu terhadap jemaah Palestin dan pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa oleh tentera rejim Israel. Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, tindakan tentera Israel menyalahi undang-undang, menghina dan mencabuli hak asasi manusia Palestin serta mencemar kesucian tempat ketiga paling suci dalam Islam. Sementara itu, umat Islam di Selangor turut diseru untuk berbuat perkara sama. Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan keganasan tersebut kerap berulang terutama pada bulan Ramadan, sama seperti pada April tahun lalu. “Sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan ini, seluruh masjid dan surau di Selangor akan melaksanakan solat hajat seusai solat Jumaat minggu ini untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bagi warga Palestin agar Allah SWT. melindungi mereka. “Kerajaan Selangor menyatakan solidariti bersama warga Palestin dan mengajak pemimpin seluruh dunia untuk bersama-sama mengutuk dan mengecam serangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam kelmarin. Sumber: AWANI/Utusan
|
ADVERTISEMENT