SINGAPURA: Seorang pembantu rumah yang diupah untuk menjaga pasangan bayi kembar, dipenjara selepas menggigit lengan salah seorang daripada mereka kerana tidak mahu tidur. Menurut Channel News Asia, Masita Khoridaturochmah, 33, dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas satu pertuduhan mendera bayi itu dengan sengaja hingga menyebabkan kesakitan fizikal.
Mahkamah mendengar bahawa Masita yang merupakan warga Indonesia, mula bekerja dengan majikannya sejak tahun 2021 dan tugas utamanya menjaga bayi perempuan kembar itu selain melakukan kerja rumah. Pada kira-kira pukul 5 petang 26 Mei tahun lalu, majikannya meninggalkan rumah untuk mengambil anak sulungnya dari prasekolah dan Masita ditinggalkan di rumah bersama bayi kembar yang ketika itu berusia 14 bulan. Dia cuba menidurkan mereka, tetapi gagal selepas lebih setengah jam cuba memujuk dan merasakan mangsa melambatkannya daripada menyiapkan tugas memasak makan malam untuk keluarga itu.
Pada kira-kira jam 6.30 petang, dia menggigit bayi itu sekali pada lengan kirinya sehingga meninggalkan kesan lebam. Malam itu, majikannya ternampak lebam berbentuk kesan gigitan pada lengan anaknya dan terus melaporkannya kepada polis walaupun Masita berkali-kali memohon maaf. Peguambela, Kyle Chong meminta hukuman penjara dikurangkan kepada dua bulan kerana kesalahan pertama namun hakim menolak. “Bagi kes penderaan kanak-kanak melibatkan keganasan fizikal yang tidak membawa maut, mahkamah mengenakan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan. Parlimen juga dilihat berusaha untuk menggandakan hukuman bagi kes Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda sebegini,” kata Halim Daerah, Tan Jen Tse . Jen Tse bagaimanapun memperkenankan permintaan Masita untuk menangguhkan hukuman penjara selama seminggu supaya dia dapat menghubungi keluarganya di Indonesia dan mengatur urusan pulang ke negara itu selepas selesai menjalani hukuman. -CARI Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT