Selepas mendapat nasihat dan keizinan daripada doktor, Datuk Jamal Abdillah memilih untuk menyambut kelahiran anak keenamnya pada 14 April. Awalnya dia merancang mahu menyambut kelahiran bayi perempuannya keduanya pada 1 April, bersamaan dengan tarikh ulang tahun perkahwinan yang keenam bersama isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28, namun dinasihatkan doktor untuk melewatkan tarikh tersebut.
“Alhamdulillah isteri saya bakal bersalin pada 14 April nanti secara pembedahan. Kalau ikutkan kami mahu sambut kelahiran bayi itu pada 1 April, bersamaan dengan tarikh ulang tahun perkahwinan kami yang keenam. “Tapi doktor kata usia kandungan isteri masih ‘muda’ dan dilewatkan dua minggu iaitu pada 14 April nanti,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bercakap tentang pilihan nama yang bakal diberikan kepada bayi perempuannya itu nanti, Jamal sudah memilih beberapa nama yang dirasakan sesuai dan mempunyai makna yang baik. “Untuk nama bayi perempuan saya nanti, saya sudah ada beberapa nama seperti nama ‘air mata syurga’ yang ada makna dan ringkas. “Nantilah, bila sudah lahir nanti saya akan kongsikan,” kata Jamal.
Ketika disoal tentang perasaannya apabila bakal menyambut ‘orang baharu’ tidak lama lagi, Jamal bersyukur apabila kehadiran bayi itu nanti melengkapkan kehidupannya bersama isteri apabila dikurniakan empat cahaya mata, masing-masing dua lelaki dan dua perempuan. “Alhamdulillah dah empat orang anak. Cukuplah. Doktor pun sudah nasihatkan dan tidak benarkan isteri untuk hamil lagi sebab kesemua anak kami lahir secara pembedahan (empat kali). “Apa-apa pun saya bersyukur kesihatan bayi dalam kandungan isteri berada dalam keadaan baik,"katanya kepada Kosmo.
Dalam perkembangan lain, Jamal mengakui kini sibuk dengan pelbagai projek termasuk memenuhi undangan membuat persembahan. Bahkan, sehari selepas isterinya selamat bersalin, Jamal perlu bergegas ke Kuantan pada 15 April untuk membuat persembahan. “Ramadan tahun ini saya agak sibuk dengan beberapa projek termasuk undangan membuat persembahan. Sehari selepas isteri saya bersalin pada 14 April, keesokan harinya akan perlu ke Kuantan untuk membuat persembahan di sana. “Saya tidak ambil cuti kerana menyanyi adalah mata pencarian saya,” ujar Jamal.
Untuk rekod, Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 yang juga merupakan perkahwinan keempatnya. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani atau Zack, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani kini berusia setahun. Jamal juga memiliki dua anak lelaki iaitu penyanyi Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17 menerusi perkahwinan terdahulu. –CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|