Ellie Suriaty Omar menyifatkan Farid Kamil sebagai seorang suami yang baik dan penyayang terhadap dua anaknya iaitu Muhammad dan Nur Aurora. Ellie turut memuji keperibadian aktor yang juga rakan gandingannya dalam karya Telaga Suriram.
"Farid seorang suami yang baik, seorang bapa yang sangat-sangat kasihkan anak-anaknya iaitu Che Mat dan Aurora... Farid Kamil kuat berpegang pada tali Allah SWT," tulis Ellie di ruangan komen IG. Mengambil positif kemelut rumah tangga pasangan selebriti yang menjadi bualan hangat ketika ini, Ellie turut mendoakan segala urusan pelakon filem Anwar: The Untold itu dipermudahkan.
"Pasti ada hikmah Allah SWT untuk Farid Kamil. Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan Farid Kamil di dunia akhirat Allah SWT sehingga ke syurgawi jannah." Kemelut rumah tangga pasangan selebriti Farid dan Diana Danielle yang saling berbalas kenyataan di media sosial mendapat perhatian Ellie. Bagaimanapun komen yang ditinggalkan Ellie itu sudah dipadam selepas menerima pelbagai reaksi daripada netizen. Terdahulu, Diana mendedahkan Farid Kamil sudah tidak membayar nafkah selama empat bulan malah turut berhutang dengannya.
Farid juga didakwa mungkir janji untuk membayar semula semua kos mereka pergi menunaikan umrah pada Februari lalu malah aktor itu mampu membeli kereta baharu dan cincin kahwin yang hilang. Pada perkongsian yang sama, Diana mendedahkan anak perempuan mereka, Nur Aurora mengalami trauma rentetan perbuatan Farid menengking dan memarahinya.
Bagaimanapun Farid tampil menafikan semua dakwaan dan tuduhan yang dinyatakan isterinya aktres Diana Danielle di Instastory. Farid mendakwa semua tuduhan yang dilemparkan oleh isterinya bercanggah dengan laporan polis yang dibuat olehnya. Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|