Malah, Zawfan sendiri mengambil inspirasi daripada muzik-muzik nasyid yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Raihan satu ketika dahulu.
Nazrey sendiri tidak gentar sekiranya nyanyian mereka dibandingkan dengan Raihan kerana menganggap hanya mahu memperjuangkan irama nasyid gendangan.
"Kita sudah sedia maklum bahawa hidup ini akan sentiasa dibandingkan. Itu tidak jadi masalah bagi kami.
"Paling penting disini, kemahuan kami dan jiwa kami ingin memperjuangkan kembali lagu-lagu nasyid gendagan yang sederhana.
"Belum ada lagi yang mahu memperjuangkannya setelah 20 tahun lebih lagu nasyid berkembang. Kini, sudah tidak nampak beza antara lagu nasyid atau lagu pop," ujarnya.
Mengulas lanjut tentang penerimaan generasi muda terhadap muzik klasik nasyid, ahli kumpulan Zawfan iaitu Hafiz Tarmizi menjelaskan mereka tidak menolak dengan pembaharuan industri muzik.
Kata Hafiz, mereka percaya kewujudan nasyid asli seperti ini dapat menarik lebih ramai peminat terhadap lagu keagamaan.
"Apa yang Zawfan dan Nazrey bawakan ini, kami tidak menentang pembaharuan atau kemodenan, yang kami buat adalah berdasarkan kerinduan kami kepada muzik akar nasyid yang seakan hilang.
"Kita mahu cuba wujudkan kembali dan kalau boleh dapat menarik lebih ramai peminat nasyid. Bukan atas dasar untuk bertanding dengan Raihan, tetapi memeriahkan kembali industri nasyid," ujarnya.