"Kalau dulu, saya fikir solat lima waktu lebih baik di rumah kerana saya boleh menjadi imam kepada isteri dan anak-anak," katanya.
Saharul berkata, untuk belajar agama kita tidak boleh berguru atau mencari ilmu dengan carian di Google atau buku agama semata-mata.
"Kita perlu mencari seorang guru agama yang betul untuk membimbing kita dari segi ibadah dan sebagainya. Jika kita berguru dengan Google, akhirnya akidah kita boleh terpesong kerana ada iblis dan syaitan yang akan masuk," katanya.
Berkongsi mengenai penghijrahannya, kata Saharul, banyak proses yang perlu dilakukan dalam usaha menjadi Muslim yang lebih baik.
"Saya masih ingat pesan guru, untuk orang yang mula berhijrah, yang pertama sekali kita perlu menjaga solat dan kedua jaga selawat.
"Kalau dulu kita solat tunggang terbalik, kita perbaiki solat kita di awal waktu, kalau dulu kita banyak qada solat yang tertinggal, pastikan kita solat penuh lima waktu.
"Selepas solat lima waktu, kita belajar buat solat sunat dua rakaat pula sebelum dan selepas, perbaiki bacaan dalam solat dan seterusnya perbaiki bacaan dalam sujud kita," katanya.
Mengulas mengenai jemaah tabligh yang disertainya, kata Saharul, ia adalah satu usaha mengajak orang ramai kembali kepada jalan Allah dan menegakkan syiar Islam.
"Jemaah tabligh ini bukan pertubuhan dan ia adalah aktiviti keagamaan serta usaha yang lahir daripada diri sendiri. Kalau nak tahu mengenai jemaah tabligh ni, mereka menunaikan solat berjemaah dan selalu berada di masjid," katanya.
Ditanya penampilannya yang kini berjanggut dan memakai serban pula, Saharul berkata, imej dan pemakaian itu adalah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
"Pesan guru saya, jika kita berdakwah, Allah akan menghadiahkan dua perkara iaitu janggut dan serban. Segenggam janggut ini adalah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Pemakaian serban juga sunnah Nabi untuk kita menutup kepala,"katanya.
Sumber: HARIAN METRO