NASA mengumumkan barisan empat angkasawan yang akan terbabit dalam misi penghantaran manusia ke bulan pertama dalam tempoh 50 tahun. Barisan angkasawan itu termasuk wanita dan lelaki kulit hitam pertama yang akan mengembara ke angkasa lepas.
Christina Koch, angkasawan NASA yang memegang rekod penerbangan angkasa terpanjang oleh wanita, ditugaskan sebagai pakar misi dalam pelancaran misi Artemis II ke bulan, tahun depan. Victor Glover pula ditugaskan sebagai juruterbang roket Orion yang akan mengelilingi bulan dalam misi dijadualkan pada November tahun depan, sekali gus bakal menjadi lelaki kulit hitam pertama terbabit dalam misi ke bulan. Dua lagi kru adalah angkasawan veteran NASA, Reid Wiseman, 47, yang dilantik sebagai komander misi, serta Jeremy Hansen, 47, yang juga bekas juruterbang pesawat pejuang yang kini berkhidmat dengan Agensi Angkasa Kanada.
Tiga angkasawan warga Amerika Syarikat (AS) dan seorang warga Kanada itu bakal menjadi angkasawan pertama yang mengembara ke angkasa jauh sejak berakhirnya misi Apollo pada 1972. Penerbangan misi Artemis II adalah permulaan kepada misi membawa manusia ke bulan, sebelum pelancaran misi ke Marikh pada masa depan. Ketiga-tiga angkasawan AS dalam misi itu pernah dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), manakala Hansen bakal mengembara ke angkasa buat pertama kali. Keempat-empat angkasawan itu yang berpakaian sut biru, diperkenalkan oleh pentadbir NASA, Bill Nelson dalam satu majlis di Pusat Angkasa Johnson di Houston. "Roket terbesar dan paling berkuasa di dunia akan membawa mereka ke atas," kata Nelson. Sementara itu, Koch, 44, yang juga jurutera elektrik, memegang rekod berada di angkasa selama 11 bulan dan terbabit dalam jejak angkasa pertama oleh angkasawan wanita ketika berada di ISS. "Adakah saya teruja? Ya, sudah tentu," katanya. Glover, 46, pula menyifatkan Artemis II bukan sekadar misi menuju ke bulan dan kembali ke Bumi, sebaliknya juga adalah langkah seterusnya untuk menghantar manusia ke Marikh. Sumber: BH ONLINE |
ADVERTISEMENT