Polis menjalankan siasatan terhadap laporan berkaitan ketidakpuashatian terhadap tindakan anggota polis trafik yang dikatakan mengambil kad pengenalan milik orang awam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. "Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan. "Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini. Terdahulu, satu laporan polis dibuat seorang lelaki berhubung perkara itu pada 31 Mac lalu yang tular di media sosial, baru-baru ini. Dalam laporan itu, pengadu mendakwa ditahan seorang anggota polis trafik semasa sekatan jalan raya di Jalan Lake View Puchong Prima, di sini. Difahamkan anggota itu meminta pengadu mengeluarkan kad pengenalan dan lesen memandu miliknya untuk diserahkan kepadanya.
Anggota itu memaklumkan pengadu akan disaman atas kesalahan pengubahsuaian ekzos serta terdapat waran tangkap di atas namanya dan memberitahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah terbabit. Kemudian anggota itu memegang kad pengenalan pengadu dan meninggalkan nombor telefonnya kerana mahu berjumpa lelaki terbabit di satu lokasi dengan membawa wang RM500 untuk diberi kepada anggota berkenaan. Pengadu berasa tidak puas hati selepas menerima mesej daripada nombor telefon anggota polis berkenaan sebelum membuat laporan di balai polis untuk tindakan lanjut. Sumber: HARIAN METRO |
ADVERTISEMENT