Dewan Rakyat, hari ini, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023. RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh dan dibahas 10 Ahli Parlimen. Ramkarpal, berkata, Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 adalah suatu akta "omnibus" kerana merangkumi pindaan kepada Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman yang berhubungan dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya. Katanya, hukuman mati mandatori adalah salah satu hukuman yang dianggap sebagai kaedah di mana keadilan dapat dicapai terutamanya apabila membabitkan kesalahan kejam.
"Namun tiada kajian lanjut yang dapat membuktikan bahawa hukuman mati adalah langkah pencegahan jenayah terbaik atau berkesan. "Keberkesanan hukuman mati sebagai satu bentuk pencegahan tidak dapat dipastikan memandangkan terdapat banyak faktor yang mempengaruhi bilangan pendakwaan atau kadar jenayah," katanya ketika membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat, hari ini. Menurutnya, pemansuhan hukuman mati mandatori bertujuan menghormati hak untuk hidup setiap individu di negara ini sambil memastikan keadilan bagi semua pihak. "Prinsip asas di sebalik setiap hukuman di negara ini adalah pemulihan supaya mereka dapat kembali ke masyarakat dan menjadi individu yang dapat berkhidmat kepada keluarga dan negara selepas selesai menjalani hukuman. "Statistik Jabatan Penjara (JPM) 2019, menunjukkan tiada kadar residivisme bagi banduan hukuman mati yang diampun dan dibebaskan," katanya. Ramkarpal, berkata perundangan sistem keadilan jenayah negara diwujudkan sejak sekian lama dan terdapat banyak peruntukan sedia ada yang dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan jenayah semasa. Katanya, dalam hal ini keputusan kerajaan berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dilihat sebagai langkah yang tepat dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan sistem perundangan yang dinamik, progresif dan relevan dengan keperluan semasa. "Bagaimanapun, hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori perlu setimpal dengan keseriusan jenayah yang telah dilakukan oleh pesalah dan tidak mengakibatkan ketidaksesuaian dengan hukuman lain yang kurang serius. "Justeru, hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh berserta dengan sebatan dilihat sebagai hukuman gantian yang paling bersesuaian terhadap 11 kesalahan yang membawa kepada hukuman mati mandatori ini. Kombinasi hukuman pemenjaraan dan sebatan adalah wajar supaya dilihat sebagai hukuman yang lebih berat berbanding hukuman untuk jenayah lain," katanya. Tambahnya, dalam memperkenalkan RUU berkenaan, kerajaan tidak hanya mengambil kira kepentingan satu pihak saja, malah, sudah berjumpa dengan wakil keluarga mangsa. Katanya, keputusan itu juga turut mengambil kira beberapa perkara, antaranya perasaan keluarga mangsa, hak asasi seorang banduan dan prinsip kesamarataan. "Kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan diat termasuk implikasi perundangan dan kewangan kepada kerajaan, pada masa ini Kanun Acara Jenayah memperuntukkan pampasan melalui Seksyen 426. "Oleh itu, peruntukkan boleh digunakan sehingga konsep diat dikaji dan diteliti oleh pihak kerajaan," katanya. Sumber: HARIAN METRO
|
Menurutnya, pemansuhan hukuman mati mandatori bertujuan menghormati hak untuk hidup setiap individu di negara ini sambil memastikan keadilan bagi semua pihak.
"Namun tiada kajian lanjut yang dapat membuktikan bahawa hukuman mati adalah langkah pencegahan jenayah terbaik atau berkesan.
ADVERTISEMENT