CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Mahkamah: Clare Gagal Lagi Batal Tuduhan Fitnah Sultanah Nur Zahirah

3-4-2023 04:43 PM| Diterbitkan: tatod| Dilihat: 4353| Komen: 0|Original author: Tatod

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown gagal buat kali kedua untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Perkara itu dimaklumkan melalui satu surat bertarikh 27 Mac lalu yang mana Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan oleh Clare. Surat itu yang dialamatkan kepada Tetuan Guok Partnership yang mewakili Clare, diperolehi oleh pihak media hari ini.

Dalam surat tersebut antara lain menyatakan, AGC memutuskan terdapat keterangan yang mencukupi untuk mengekalkan pertuduhan terhadap Clare.


“Representasi ditolak dan pertuduhan terhadap anak guam dikekalkan. Keputusan adalah muktamad,” demikian menurut surat berkenaan ketika merujuk kepada representasi bertarikh 8 Mac lalu yang dikemukakan oleh Clare.


Menurut surat itu lagi, sebarang representasi lanjut daripada pihak tertuduh tidak akan dilayan melainkan jika terdapat perkembangan baharu atau keadaan yang masih belum dipertimbang yang mewajarkan kajian semula dilakukan.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan, Clare gagal kali pertama untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Nur Zahirah selepas representasi bertarikh 13 Disember 2022 ditolak oleh agensi itu.

Perkara tersebut dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Clare pada sesi pengurusan kes.

Representasi untuk membatalkan pertuduhan itu dikemukakan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2022 yang menolak saman RM300 juta dikemukakan oleh Sultanah Terengganu terhadap Clare.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan Lee ketika itu memutuskan Clare dan dua lagi tidak memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.


Selain Clare, turut dinamakan sebagai defendan ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd.

Pada 23 September 2021, Clare yang berasal dari United Kingdom itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara in-absentia (tanpa kehadiran tertuduh) atas pertuduhan itu.

Clare didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pengarang Sarawak Report itu kemudian memfailkan permohonan untuk memindahkan kesnya daripada Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini (Kuala Lumpur) kerana mendakwa dirinya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.

Ini kerana pengadu dalam kes jenayah terhadap dirinya adalah Sultanah Terengganu sendiri yang memfailkan saman terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 12 Ogos 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Clare untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan yang dihadapinya.

Beliau membuat keputusan tersebut selepas mendapati, pertuduhan jenayah terhadap Clare ‘masih dalam transit’ dan kes perlu dipindahkan secara rasmi sebelum permohonan itu diputuskan.

Hakim Mohamed Zaini ketika itu turut menyatakan, kes jenayah membabitkan Clare masih berada di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan tertuduh masih belum didakwa secara bersemuka.


Sumber: KOSMO! ONLINE



Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-11-2024 03:22 PM GMT+8 , Processed in 0.273861 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top