Selebriti, Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil memberikan pandangannya mengenai sikap menjaja aib pasangan yang seakan menjadi 'trend' pada masa ini.
Sudah melalui pergolakkan rumah tangga dan berhadapan dengan pertanyaan wartawan, katanya, semua perkara itu berbalik kepada hati sendiri kerana dalam pancaroba perkahwinan akan ada rasa dendam dan marah.
"Itu biasa dan benda itu memang berlaku. Dalam keadaan sekarang ini, tengok balik ke belakang, ada juga yang saya rasa macam 'kenapa aku buat?'.
"Sekarang ini, mereka juga akan lalui proses mungkin lima atau enam tahun akan datang bertanya pada diri sendiri kenapa mereka lakukan perkara itu. Akan ada rasa kekesalan bertikam lidah di media sosial, bertikam lidah.
"Sebab zaman sekarang ini lagi susah sebab semua dah masuk media sosial. Tak boleh padam. Itu akan jadi bahan bacaan anak cucu akan datang dengan tekan satu butang sahaja," katanya.
Dalam pada itu, kata Pak Nil, dengan keadaan digital yang boleh menyimpan kesemua data yang ada, adalah lebih baik bagi setiap individu lebih berhati-hati.
Katanya lagi, hanya disebabkan dendam dan marah, perkara yang tidak diketahui seperti isu curang dan kewangan keluarga turut diketahui umum sedangkan insan tersebut adalah individu yang pernah dicintai suatu ketika dahulu.
Pak Nil turut memuji pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi yang dahulunya kedua-duanya bersaing cuba menegakkan kebenaran tetapi apabila mereka bertindak untuk berdamai, kehidupan mereka lebih tenang.
"Saya minta maaf sebut mengenai perkara ini tetapi mereka ada perjalanan dan cara mereka membesarkan anak-anak itu membuatkan saya sanjung mereka.
"Tak nak ke kita hidup lebih dari itu atau sama keindahan sama seperti itu sebab kita ada benih yang kita lahirkan bersama orang yang pernah kita sayang.
"Fikirlah dua kali untuk berada dalam situasi yang mengelirukan anak-anak dan memeritkan diri sendiri. Apa yang ada dalam mahkamah, biarkan ia habis di situ," katanya. - CARI
Sumber: Youtube Budiey Channel