"Takkan saya nak tunjuk yang saya pun sudah disekat. Apa yang boleh saya katakan adalah saya tidak tahu menahu mengenai Instagram milik arwah abang saya."
Rupa-rupanya Ali Puteh langsung tidak tahu-menahu perkembangan akaun media sosial Abam Bocey selepas pelawak itu meninggalkan dunia yang fana ini tiga tahun lalu. Bukan itu sahaja, Ali atau pemilik nama penuh, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dan keluarga turut disekat daripada melihat akaun Allahyarham. "Apa pun, Instagram ini hanya sekadar permainan industri. Apa yang penting adalah untuk memberikan bacaan Al Fatihah buat arwah abang saya. "Bukan apa, sekiranya tidak boleh melihat akaun itu takkan saya hendak paksa pula. Bukan baru sehari dua, namun sudah bertahun sebenarnya," katanya kepada Harian Metro ketika rakaman Melodi Raya di Luxury Garden Hall, Cyberjaya, baru-baru ini.
Tambah Ali, kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali turut menolak alternatif untuk berdamai di luar mahkamah. "Sebenarnya jalan untuk berdamai itu yang saya pilih namun ditolak. Mungkin jika ingin berdamai lagi akan bertambah hal. Bukan tak nak bayar, cuma kalau boleh nak bayar secara ansuran. "Namun, permohonan itu pun ditolak, jadi mesti ada yang tidak kena. Saya cuma memikirkan arwah anak abang saya yang berada di situ. Selepas tiga tahun arwah Abam meninggal dunia pun kami tidak dapat berjumpa dengan Hamzah. "Bukan saya saja, malah arwah mak saya meninggal dunia pun tak berjumpa. Saya bukan nak salahkan sesiapa, cuma akan mencuba juga sebaik mungkin untuk bayar secepat mungkin," katanya. Berhubung hal bayaran RM60,000 yang diperintah Mahkamah Sesyen 18 Februari tahun lalu, pelawak itu memaklumkan proses pembayaran akan diselesaikan sebelum raya. Terdahulu, Ali diperintah membuat pembayaran itu kepada balu Abam kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram (IG), dua tahun lalu. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|