Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) mendakwa ahli kumpulan hip hop 1990-an, Fugees semalam, menerima puluhan juta dolar AS untuk melobi kerajaan AS, bagi pihak pembiaya Malaysia yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Low dan Kerajaan China.
Penyanyi rap yang juga pemenang Anugerah Grammy, Prakazrel 'Pras' Michel dituduh menyalurkan wang daripada seorang pembiaya Malaysia yang juga ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk kempen pemilihan semula Barack Obama 2012. Lima tahun kemudian, pendakwa raya berkata, dia cuba memadamkan penyiasatan terhadap pembiaya itu dan memujuk pentadbiran Presiden Donald Trump ketika itu untuk 'kembali' ke China. Pendakwa raya Nicole Rae Lockhart berkata, Jho Low menyalurkan lebih AS$20 juta (kira-kira RM4.41 juta) kepada Michel untuk membiayai Obama semasa kempen itu dengan menyembunyikan asal usul ahli perniagaan itu.
Katanya, Michel menggunakan orang tengah kononnya sebagai penderma asal sebelum 'cuba memegang' individu itu bagi menghalang siasatan. "Defendan mahukan wang dan sanggup melanggar mana-mana undang-undang untuk mendapatkan upah," katanya. Jabatan Kehakiman berkata, Michel bersekongkol dengan Jho Low yang didakwa mendalangi skim pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan dana 1MDB. Wang yang dirompak dibayar untuk barang kemas dan seni mewah serta membiayai filem Hollywood seperti The Wolf of Wall Street. Jho Low terkenal dengan hubungan perniagaan dan sosialnya dengan selebriti seperti Kim Kardashian dan Leonardo DiCaprio yang kemungkinan menjadi saksi dalam kes itu. Pada 2017, pendakwa raya berkata, penyanyi rap itu bersubahat dengan fixer Republikan untuk mencuba dan menutup penyiasatan AS ke atas Jho Low dan penyelewengan dana Malaysia. Dia juga dituduh mendesak pentadbiran Trump menghantar seorang warga China yang melarikan diri ke AS kembali ke China. Tahun lalu, Jabatan Kehakiman mengumumkan pertuduhan terhadap Jho Low dan dua bekas pegawai bank Goldman Sachs dalam pengubahan wang haram dan rasuah dengan mencuri wang daripada dana itu. Salah seorang pegawai bank, Roger Ng, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bulan ini kerana peranannya dalam skandal itu. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT