Sebuah kemalangan membabitkan ambulans yang terbabas menyebabkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) parah di kepala. Dalam kejadian di Kilometer (KM) 15.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai semalam, Anuar Shamsudin, 39, memandu ambulans yang turut membawa seorang pegawai perubatan, Dr Al-Farouq Azmi Nazmi, 28, yang patah tangan kiri, jari kiri dan luka di muka serta seorang jururawat, Nur Hafini Hanis Hasbullah, 36, cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berpunca apabila ambulans itu cuba mengelak kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang masuk ke laluannya. Katanya, siasatan awal mendapati ambulans berkenaan dalam perjalanan dari Hospital Kuala Krai ke Hospital Gua Musang selepas menghantar pesakit.
"Apabila sampai di lokasi, ambulans terbabit cuba mengelak ke kiri jalan apabila Mitsubishi Triton memasuki laluannya ketika mengambil selekoh. "Tayar ambulans jatuh ke bahu jalan menyebabkan mangsa tidak dapat mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan serta melanggar tiang elektrik. "Pelanggaran menyebabkan pemandu ambulans yang juga anggota APM Gua Musang dan seorang doktor Hospital Gua Musang tersepit di dalam kenderaan dan dikeluarkan dengan bantuan bomba," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan siasatan lanjut masih dijalankan. "Polis sedang mengesan Mitsubishi Triton yang terbabit dalam kejadian ini. "Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Gua Musang atau boleh terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Rahmad Zakaria di talian 019-4742270 bagi membantu siasatan," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT