Kursus Tagalog, bahasa keempat paling banyak dituturkan di Amerika Syarikat serta dua lagi bahasa Asia bakal ditawarkan di Universiti Harvard. Menurut laporan kertas pelajar Harvard Crimson, Jabatan Pengajian Asia Selatan universiti itu akan mengupah tiga tenaga pengajar untuk mengajar Bahasa Tagalog, Bahasa Indonesia dan Bahasa Thailand bagi tahun akademik 2023 hingga 2024.
Jawatan mengajar di bawah pelantikan penggal tiga tahun dan boleh diperbaharui sehingga lima tahun tambahan itu akan menggunakan peruntukan AS$1 juta (RM4.43 juta) melalui inisiatif pengumpulan dana. Profesor Bahasa dan Tamadun Asia Timur dan Pengarah Pusat Asia Harvard, James Robson berkata, jabatan itu berusaha ke arah memperluas pendidikan mengenai Asia Tenggara di universiti itu selama lebih dua tahun. Melalui kursus Bahasa Tagalog katanya, jabatan Harvard berharap dapat membuka ruang permintaan untuk bahasa Asia Tenggara dan peluang meyakinkan pentadbiran dalam terus menyokong pengajian Asia Tenggara.
Tagalog adalah salah satu bahasa utama di Filipina, selain Bahasa Inggeris. Selain Harvard, Universiti Washington di Seattle turut menawarkan kursus Bahasa Tagalog di bawah program Pengajian Etnik Amerika. Kursus sama juga ditawarkan di Universiti Pennsylvania, Philadelphia; Universiti California San Diego, La Jolla, California; Universiti Cornell, Ithaca, New York dan Universiti Michigan, Ann Arbor, Michigan. Di Universiti Hawaii, Manoa, Honolulu, pelajar boleh memperoleh ijazah sarjana muda seni dalam bahasa dan budaya Filipina. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT