Seorang pemuda hanya mampu tersenyum tatkala ibunya memotong kukunya yang panjang di jari kelingking. Kawasan parkir kereta menjadi saksi, apabila ibunya secara spontan mengeluarkan pengetip kuku dari dalam beg tangan bagi memotong kukunya sehingga pendek agar kelihatan kemas.
Berkongsi cerita kepada mStar, pemuda berkenaan, Aliff Aiman Ismail berkata, dia menyimpan kuku sehingga panjang di jari kelingkingnya sejak lima bulan lalu. Sepanjang tempoh itu juga, dia yang lebih mesra disapa Aliff memberitahu, ibunya berkali-kali menegur supaya memotong kukunya yang panjang itu. "Mulanya saya simpan kuku panjang ni ikut kawan. Mak kemudian tegur tak elok simpan kuku panjang dan secara kebetulan ditegur bukan pada hari Jumaat. "Saya beri alasan nak potong kuku hari Jumaat sebab sunat (digalakkan). Sudahnya berkali-kali Jumaat kuku panjang di jari kelingking masih belum potong.
"Itu belum lagi macam-macam alasan lain seperti orang-orang tua dulu pantang kalau potong kuku pada waktu malam," katanya kepada mStar. Pemuda berusia 25 tahun itu berkata, dia sebenarnya baru menjalani pembedahan ligamen lutut akibat kecederaan yang dialami ketika bermain bola. "Mak juga tegur imej kuku panjang tidak baik di tempat kerja. Malu orang tengok kuku panjang sebab ia merupakan sebahagian daripada penampilan kita. "Saya pula cuti sakit selama dua bulan selepas pembedahan dan banyak masa dihabiskan di rumah. Jadi memang tak pergi ke tempat kerja untuk guna alasan tu," ujarnya yang berasal dari Setiu, Terengganu. Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia bersyukur kerana keadaan lututnya beransur pulih dan boleh berjalan seperti biasa. Pada masa sama, Aliff juga pernah menyuarakan kepada ibunya untuk memotong kukunya yang panjang menjelang Ramadan sempena bulan yang penuh keberkatan. "Sempena hari Jumaat lalu yang penuh barakah, kuku di jari kelingking akhirnya dipotong mak sebelum kami sekeluarga ke kedai makan untuk berbuka puasa. "Mak pula memang simpan pengetip kuku dalam beg tangan, sentiasa bawa ke mana-mana. Jadi, mak terus potong kuku saya di situ sebelum masuk kedai," ujarnya secara berseloroh. Bercerita lebih lanjut, Aliff berkata, ibunya yang berusia 56 tahun merupakan guru penolong kanan (GPK) kokurikulum di sebuah sekolah menengah, maka disiplin amat dititikberatkan. "Mak sangat garang dan tegas, mengalahkan guru disiplin sebab itulah ada pengetip kuku kalau spot check pelajar. Bukan setakat pelajar, penampilan anak-anak pun kena sentiasa kemas. "Pernah suatu hari saya pergi potong rambut tapi mak 'tak lulus'. Saya terpaksa berpatah balik ke kedai gunting rambut dan perkemas semula," katanya. Walaupun tegas, kata Aliff, ibunya begitu penyayang dan setiap tegurannya untuk kebaikan anak-anak. "Biasalah mak-mak, mereka mahu yang terbaik untuk anak-anak. Walaupun sudah bekerja, mak masih pantau penampilan saya... saya layankan saja demi kebaikan," katanya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT