WARSAW: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara selepas didapati menggali kubur ibunya dan menyimpan mayat wanita itu bersamanya selama beberapa tahun, dengan meletakkannya di atas sofa di rumahnya.
Lapor Mirror, polis menemukan mayat wanita diawet itu di sebuah rumah terletak di Radlin, Poland milik lelaki dikenali sebagai Marian L yang berusia 76 tahun. Jurucakap polis, Małgorzata Koniarska berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat daripada abang ipar tiri Marian yang bimbang mengenai kesihatannya. Jelas beliau, ketika melakukan pemeriksaan di rumah itu, polis menemukan mayat ibu Marian di ruang tamu dalam keadaan bersandar di sofa di atas timbunan surat khabar yang bertarikh tahun 2009. Sementara itu, pendakwa raya memaklumkan mayat wanita itu mungkin dikebumikan lebih 13 tahun lalu.
Joanna Smorczewska dari Pejabat Pendakwa Daerah berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan ke atas mayat wanita itu disahkan identiti sebagai ibu Marian bernama Jadwiga L. yang meninggal dunia pada Januari 2010. “Dilaporkan kubur Jadwiga L., tempat wanita itu dikebumikan pada 16 Januari 2010, kekal kosong,” katanya. “Lelaki itu dipercayai menggali kubur ibunya sejurus selepas dikebumikan dan kemudian mengawetkan sebelum menyimpan mayat wanita itu di rumahnya sejak tahun 2010,” katanya. Marian L dipercayai menggali sendiri kubur ibunya dan membawa mayat wanita itu ke rumahnya kira-kira 300 meter dari tanah perkuburan, sebelum menggunakan bahan kimia untuk menjalankan proses mengawet. Meskipun dikebumikan lebih 13 tahun lalu, menurut pegawai, mayat wanita itu masih berada dalam keadaan sempurna. -CARI Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT