Ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low disabit mahkamah di Kuwait secara 'in absentia' (tanpa kehadirannya) pada Selasa atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kuwait Al-Qabas melaporkan, seorang sheikh dengan rakan kongsinya termasuk dua lagi warga asing dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun. Manakala seorang peguam diperintah menjalani hukuman penjara tujuh tahun atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Malaysia. Mahkamah memerintahkan mereka memulangkan AS$1 bilion (RM4.4bilion) serta membayar denda KD145 juta (RM2 bilion). Nama sheikh terbabit termasuk rakan kongsi mahupun peguam berkenaan bagaimanapun tidak didedahkan laporan berkenaan, namun hanya menyebutnya sebagai 'dana Malaysia'. Laporan itu menyebut, ia berkait kes pengubahan wang haram terbesar selain mengenal pasti identiti wang asing itu sebagai Low dan ahli perniagaan Syria-Perancis bernama Bachar Kiwan.
Berdasarkan laporan diterbitkan menerusi portal Sarawak Report mendakwa, dana Malaysia itu merujuk kepada 1MDB. Selain itu, portal sama mendakwa sheikh yang disebut-sebut itu adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah. Manakala, rakan kongsi yang dikaitkan didakwa sebagai sekutu Low iaitu Hamad Al Wazan dan peguamnya, Saud Abdelmohsan. Laporan Al-Qabar melaporkan kelima-lima mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam bentuk mata wang China bersamaan KD343,700,000 (kira-kira RM4.95 bilion). Dakwa agensi berita itu, lima individu berkenaan tahu bahawa wang berkenaan adalah hasil haram yang diseleweng daripada dana pelaburan Malaysia. Akhbar itu melaporkan bahawa kes berkenaan ditangguh selama dua tahun sebelum dibuka semula kerana pihaknya pendakwaan berdepan halangan untuk memperoleh maklumat dari luar negara. Sumber: Sinar Harian
|
ADVERTISEMENT