Tiga kanak-kanak dan tiga kakitangan sekolah ditembak bekas pelajar dalam serangan yang dirancang dengan teliti di sebuah sekolah rendah swasta di Nashville hari ini. Ketua Polis Negara, John Drake menamakan suspek sebagai Audrey Hale, 28, yang kemudiannya disifatkan pegawai terbabit sebagai seorang transgender.
Hale dikatakan mempunyai manifesto perancangan, peta sekolah yang memperincikan pengawasan dan pintu keluar masuk serta bersedia untuk konfrontasi dengan penguatkuasaan undang-undang. Dalam temu bual dengan NBC News, beliau berkata, suspek berkemungkinan merancang serangan yang lebih luas kerana manifesto menunjukkan bahawa akan berlaku tembakan di beberapa lokasi dan sekolah itu adalah salah satu daripadanya.
Katanya, berbekalkan sekurang-kurangnya dua senapang serbu dan pistol, Hale memasuki The Covenant School, sebuah akademi Kristian dari pintu masuk sebelah dan didakwa menembak melalui pintu iaitu melepaskan beberapa das tembakan. Polis mengenal pasti enam mangsa seorang daripada tiga kanak-kanak itu berusia lapan tahun dan dua lagi berumur sembilan manakala orang dewasa yang terbunuh berusia 60 hingga 61 tahun. Salah seorang mangsa adalah ketua sekolah berkenaan, Katherine Koonce. Terdapat beberapa kekeliruan awal tentang identiti jantina penembak. Walaupun polis merujuk suspek sebagai gadis, profil LinkedIn suspek mencadangkan Hale dikenal pasti sebagai seorang lelaki. Polis berkata, pegawai berada di tempat kejadian dalam masa kira-kira 15 minit selepas menerima panggilan kecemasan pertama sekitar 10 pagi (waktu tempatan), berlaku berbalas tembakan sebelum suspek ditembak mati. Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyifatkan kes tembakan terbaharu itu sebagai satu kesakitan dan berkata keganasan senjata api benar-benar merobek jiwa negara ini. Beliau turut menggesa Kongres meluluskan larangan ke atas senjata serangan yang sering digunakan dalam tembakan besar-besaran. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT