TAMPIN – Perasaan tidak sedap hati seorang abang yang mahu pulang ke Perak kerana tidak melihat adiknya, Saripah, 60-an, setelah berada seminggu di kampung Keru, di sini, rupa-rupanya berasas apabila adiknya ditemui sudah meninggal dunia di rumah pagi tadi.
Abang berkenaan, Abu Hanifah Baba, 71, yang menetap di Felda Besaut, pulang ke kampung bagi kerja-kerja mengambil upah menguruskan kebun kelapa sawit di Lubuk China yang sudah pun diusahakannya lebih 10 tahun lalu. Menurutnya, dia tinggal di rumah peninggalan salah seorang adik-beradiknya dan kebiasaannya akan nampak adiknya (Allahyarham) di luar rumah setiap pagi. “Biasanya ada nampak adik Saripah di luar rumahnya tapi kali ni tak nampak. Pagi ni saya nak gerak pulang ke Perak dan pergi menjenguk adik kerana bimbang. Pintu pagar rumahnya berkunci. Saya panjat, masa tu tak ada apa bau pun.
“Bila buka cermin tingkap rumah barulah saya terbau busuk dan ternampak adik sudah terbaring tidak bernyawa di lantai. Saya terus ke balai polis untuk membuat laporan. Ikutkan, adik saya yang merupakan pesara jururawat serta tidak berkahwin ini memang agak sukar untuk dihubungi. “Namun, dia ada menziarahi saya di Perak sebaik mengetahui isteri saya sakit sebelum ini. Kini dari enam beradik hanya tinggal berdua sahaja yang masih hidup,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 6 1/2, Keru, di sini, hari ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan dari abang si mati yang hadir ke balai pada pukul 10.35 pagi. Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati si mati tinggal bersendirian dan telah meninggal dunia lebih 24 jam berdasarkan bau dan mayat yang telah kembung. “Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. -CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT