Lelaki mabuk yang mengeluarkan kata-kata kesat dan membaling tin minuman arak kepada beberapa individu di hadapan sebuah restoran di Bandar Rinching di sini, semalam dipercayai menjadi punca pergaduhan.
Video pergaduhan kumpulan lelaki itu tular di media sosial memaparkan lelaki mabuk itu memegang dan melibas parang ke arah kumpulan individu terbabit.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9.55 malam sebelum beberapa anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian kira-kira 9.45 malam itu dipercayai berpunca daripada seorang lelaki dalam keadaan mabuk ke sebuah gerai menjual burger dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap peniaga berkenaan.
Sumber Harian Metro
"Suspek kemudiannya bertindak membaling tin minuman keras ke arah gerai burger mengakibatkan berlaku kekecohan antara suspek dan peniaga.
"Kejadian menjadi tegang apabila suspek yang mabuk mengeluarkan pisau dan parang serta bertindak agresif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaid berkata, suspek turut menyerang beberapa individu lain sebelum berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
"Polis yang tiba di lokasi kemudian menahan suspek dan tiga lagi individu lain berusia antara 28 hingga 41 tahun diberkas dan direman empat hari untuk siasatan selanjutnya," katanya.
Katanya, polis turut merampas beberapa senjata dan barang lain dipercayai digunakan ketika pergaduhan ini antaranya, sebilah parang, pisau dan topeng kain muka.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.
Sumber: HARIAN METRO
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My