Nama pelakon Yoo Yeon Seok dilaporkan bersikap biadap terhadap
pengawal keselamatan yang berkerja di pangsapuri kediamannya.
Memetik Soompi, perkara itu dilaporkan oleh anak pengawal
keselamatan berkenaan selepas bapanya menerima layanan buruk sehingga terpaksa
berhenti kerja gara-gara tidak tahan dengan sikap aktor tersebut.
Bagaimanapun, pihak King Kong Entertainment menyangkal
dakwaan tersebut malah beranggapan perkara itu adalah tuduhan tidak berasas dan
bakal mengambil tindakan undang-undang.
"Selepas menyiasat lebih lanjut mengenai perkara ini
dengan Yoo Yeon Seok, kami mengesahkan bahawa tuduhan itu tidak berasas. Kami
bercadang untuk memfailkan saman kerana menyebarkan fitnah dan berita palsu.
"Kami telah mengupah peguam dan bersedia mengambil
tindakan undang-undang," katanya.
Pihak agensi Yoo Yeon Seok juga meminta agar pihak berkenaan
membuat permohonan maaf terbuka untuk membersihkan nama aktor berusia 38 tahun
itu.
Susulan itu, individu yang dipercayai menyebarkan khabar
angin tersebut tampil membuat pemohonan maaf secara terbuka.
Malah dia mengaku cemburu dengan Yoo Yeon Seok yang semakin
terkenal sejak kebelakangan ini sekali gus tidak menyangka perkara itu akan
menjadi serius.
"Saya minta maaf kepada Yoo Yeon Seok, saya tak sangka
perkara akan menjadi serius seperti ini. Saya akui saya cemburu dengan dirinya.
"Saya tidak pernah bertemu dengannya, tetapi saya fikir
dia mesti seorang pelakon dengan personaliti yang baik dan penuh
pertimbangan," ujarnya.
Walau bagaimanapun, pihak agensi bertegas untuk mengambil
tindakan dan ketika ini kes berkenaan sedang dalam siasatan.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My