Persatuan Haiwan Malaysia menggesa Jabatan Veterinar Malaysia membuat siasatan menyeluruh dan komprehensif berhubung penemuan puluhan bangja dan rangka kucing di sebuah rumah sewa di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 11 Mac lalu. Penganalisis Jenayah Haiwan yang juga Presiden Persatuan Haiwan, Arie Dwi Andika berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan daripada pemilik rumah itu yang disewa seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun selepas laporan polis dibuat pengaduh pada 13 Mac lepas tidak mendapat sebarang reaksi positif. Katanya, dia terpanggil untuk membuat pemeriksaan di rumah berkenaan selepas menerima aduan daripada jiran-jiran yang tidak tahan dengan bau busuk dipercayai datang dari rumah tersebut.
"Ketika pemeriksaan dibuat di rumah berkenaan yang kebetulan tidak berkunci selain suspek yang sedang tidur di dalam bilik, pengadu terkejut kerana menemukan bangkai dan percikan darah di situ. "Dia kemudiannya melihat ke bahagian dapur sebelum menemui bangkai kucing yang telah dilapah. Dia turut menemukan sebuah ting yang berisi organ kucing selain penemuan sama di dalam peti sejuk," katanya. Arie berkata, selain itu pengadu turut mendakwa terdapat sebuah baldi berisi daging kucing yang baru dikisar suspek. Selepas mengumpil beberapa bukti berupa gambar di lokasi kejadian, pengadu telah tampil membuat laporan polis. Bagaimanapun, katanya, laporan dibuat tidak dilayan dengan alasan polis tiada kuasa membuat siasatan dan penguatkuasaan, walaupun terdapat Seksyen 428 Kanun Keseksaan (khianat dan membunuh haiwan) di bawah bidang kuasa polis. Menurut Arie, pihaknya memaklumkan kes berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Putrajaya pada 16 Mac lepas supaya siasatan dijalankan segera dan menyeluruh bagi mengetahui motif insiden tersebut berlaku. "Kami gesa siasatan dibuat segera terhadap kaedah mematikan yang zalim kerana berdasarkan keadaan kucing yang kulitnya dilapah, organ dikeluarkan serta badan dipotong, ini menunjukkan keraguan terhadap cara mematikan yang tidak berlandaskan peraturan dan undang-undang haiwan di negara ini. "Ini adalah kes pertama yang dikesan melibatkan pembunuhan haiwan dalam kuantiti yang banyak di negara ini oleh seorang lelaki tempatan," katanya sambil menegaskan mahu pendakwaan dibuat di mahkamah terhadap suspek mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 demi keadilan kepada haiwan tersebut. Sumber: BERNAMA |
ADVERTISEMENT