Pilu hati sebuah keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar pada hari pertama Ramadan. Utusan melaporkan, kejadian berlaku di Taman Paroi Jaya di sini petang semalam.
Ketika kejadian, Norhashimah Hashim, 62, berkata, dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah disewa sejak 10 tahun itu sebelum terhidu bau api. “Ketika kejadian, saya sudah selesai memasak rendang dan menonton televisyen di ruang tamu. Selepas itu saya terbau api dan dalam sekelip mata berlaku letupan dari bahagian belakang dapur dan api terus menyambar langsir rumah. “Saya segera keluar sebelum ada orang awam yang berada di sekitar membantu mengeluarkan dua buah kereta kepunyaan anak saya. Bagaimanapun sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda tidak sempat dibawa keluar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian.
Dia menambah, ketika kejadian suaminya pergi ke masjid untuk menunaikan solat Asar. “Memang sedih kerana tidak dapat selamatkan barang-barang yang lain keluar dengan sehelai sepinggang sahaja. Saya memang mengambil cuti hari ini sempena hari pertama Ramadan bagi memasak juadah berbuka puasa untuk keluarga,” katanya lagi. Sementara itu, Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, kejadian itu melibatkan sebuah rumah jenis dua tingkat di Persiaran Rajawali, Taman Paroi Jaya yang terbakar 80 peratus. “Pihak bomba menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian pada pukul 4.58 petang tadi. Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kembar semi D dengan keluasan 40X70 kaki persegi. “Pihak bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman manakala punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya. Sumber: UTUSAN |
ADVERTISEMENT